SST vs GST: Rakyat hadapi tekanan susulan inflasi yang meruncing, kata Abdul Hadi

Oleh MALAYSIADATELINE

Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas-Marang) berkata, rakyat ketika ini berdepan tekanan yang semakin meruncing susulan kesan inflasi yang tidak terkawal.

Sehubungan itu, katanya, penyelesaian ditawarkan kerajaan diterajui Pakatan Harapan (PH) berhubung peningkatan kos sara hidup wajar bersandarkan cadangan pelbagai pihak, berbanding `menutup telinga’ dan hanya mengembalikan regim percukaian satu peringkat menerusi SST.

“Jangan hanya tukar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) kepada SST, ibarat cubit dengan tangan kanan, kemudian cubit pula dengan tangan kini.

“Yang sakitnya sama atau lebih sakit lagi,” katanya pada sesi perbahasan menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini lapor bharianonline.

Abdul Hadi yang juga Presiden Pas berkata, hasrat murni kerajaan dalam merungkai isu bebanan kos sara hidup rakyat wajar dilaksana secara penyelesaian menyeluruh, berbanding sekadar membuat perubahan dalam regim percukaian negara.

Beliau berkata, pendekatan ‘sempit’ dengan menukar dasar percukaian hanya meringankan bebanan kerajaan, bukan menguntungkan rakyat.

“Tangani isu kuasa beli rakyat dan peningkatan harga barang dengan penuh tanggungjawab, bukan sekadar percukaian,” katanya.

Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Umno Kuala Krau) kemudiannya bangkit mencelah dan mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa manifesto bukan seperti kitab suci, sekali gus tidak memperuntukkan sebarang kewajipan kepada kerajaan untuk melunaskan janjinya.

Dalam reaksinya, Abdul Hadi berkata, manifesto adalah janji meskipun ia bukan kitab suci seperti diperkatakan sebelum ini.

“Walaupun manifesto bukan kitab suci, tapi satu janji. Kitab suci mewajibkan kita tunaikan janji, ini hakikat yang perlu kita pegang sebagai bukan saja orang Islam tapi penganut semua agama,” katanya.