Stadium Sultan Ibrahim kemungkinan besar venue aksi Harimau Malaya

Oleh MALAYSIADATELINE

Gelanggang keramat Johor Darul Ta’zim (JDT), Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri berkemungkinan besar dipilih sebagai venue bagi aksi persahabatan melibatkan skuad Harimau Malaya pada jendela perlawanan antarabangsa Mac ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman, berkata selain Stadium Sultan Ibrahim, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus, Terengganu; Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan dan Stadium Hang Jebat, Melaka, turut berada dalam radar FAM.

Beliau berkata perkara itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan FAM pada penghujung bulan ini atau awal Mac.

“Kita sebenarnya belum putuskan mengenai pasukan lawan (aksi persahabatan) dan juga venue, ia masih dalam peringkat perbincangan.

“Sebenarnya ramai yang menawarkan venue mereka tetapi kalau nak katakan stadium yang terbaik setakat ini ialah Stadium Sultan Ibrahim,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pengumuman Kerjasama FAM dan Joma Malaysia di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini, hari ini.

Sebelum ini, pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, secara terbuka di media sosial menawarkan Stadium Sultan Ibrahim sebagai venue alternatif untuk kegunaan skuad Harimau Malaya sementara menunggu Stadium Nasional di Bukit Jalil siap diselenggara.

Baca Artikel Penuh