Star Alloy Industries (M) Sdn Bhd, yang terlibat terutamanya dalam infrastruktur, telekomunikasi dan pembuatan, hari ini memeterai dua memorandum persefahaman dengan syarikat dari Melaka untuk projek pembangunan di negeri tersebut.
Firma itu adalah Melaka Biotechnology Corp (MBC) yang akan membangunkan Melaka Biocity di Alor Gajah, dan LIS Petroleum Sdn Bhd yang terlibat dalam pembangunan Terminal Penyimpanan Minyak Melaka (MOST) di Pulau Hanyut, kira-kira 20 kilometer dari Umbai.
Pengerusi Eksekutif Star Alloy, Ken Leong Wai Kit, berkata Star Alloy akan beroperasi sepenuhnya di Biocity.
“Penyelidikan akan dijalankan di sini berkenaan pengkomersialan, pemasaran, memajukan teknologi dalam bidang toksikologi, teknologi makanan, kultur tisu, fitokimia dan mikrobiologi biologi molekul,” katanya selepas mewakili Star Alloy menandatangani MoU itu di sini Isnin.
MBC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Badrul Hisham Badrudin manakala LIS pula oleh CEO, Fadzil Ismail.
Hadir sama ialah Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.
Mengenai MOST, Leong berkata, syarikat itu menjangkakan ia adalah potensi yang dimiliki Melaka memandangkan negeri itu merupakan destinasi laluan laut yang penting.
Beliau berkata perancangan untuk membina pelabuhan laut dalam oleh Star Allloy dan syarikat sekutunya sedang dilakukan, hanya menunggu kelulusan dari kerajaan pusat dan negeri.
Sementara itu, Idris mengalu-alukan MoU itu, dan berharap kerja-kerja awal dapat dimulakan tidak lama lagi.