Pengamal undang-undang Malaysia hari ini membantah proses ratifikasi Statut Rom yang didakwa membelakangkan Perlembagaan Persekutuan dan Majlis Raja-Raja Melayu.
Peguambela, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, Perlembagaan Persekutuan mensyaratkan bahawa sesuatu perkara tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan raja-raja Melayu.
Katanya, sebelum ini Menteri-menteri yang terlibat tidak meminta persetujuan raja-raja sebaliknya mereka hanya menyatakan tentang pemakluman ratifikasi Statut Rom tersebut.
“Berdasarkan perkara 38(4) Perlembagaan Persekutuan, ia menyatakan bahawa tiada undang-undang yang boleh menyentuh keistimewaan, kedudukan, dan kemuliaan raja-raja dan tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Raja-raja.
“Jadinya, Kerajaan Persekutuan sudah melanggar dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan dan MajlisRaja-raja Melayu.
“Peguam Negara yang berperanan menasihati Perdana Menteri dan menteri kabinet juga dilihat sebagai tidak memahami Perlembagaan Persekutuan malah sering melanggar perlembagaan tersebut,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau turut mengkritik Peguam Negara Tommy Thomas yang dilihat tidak memahami konteks Perlembagaan Malaysia dan gagal memahami fungsi Raja-raja.
Katanya, Tommy juga tidak layak diiktiraf sebagai Peguam Negara apabila kebanyakan tindak tanduknya sering membelakangi Perlembagaan.
“Beliau mungkin pakar perlembagaan komanwel tetapi beliau tidak memahami perlembagaan dalam konteks Malaysia,” ujarnya.
Tambahnya lagi, Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim dalam kenyataan rasmi Facebooknya semalam, turut mendakwa ratifikasi Statut Rom dilakukan tanpa persetujuan dan perkenan Raja-raja dan telah melanggar perlembagaan persekutuan.
Katanya, beliau menyokong kenyataan tersebut dan akan menulis satu memorandum bantahan yang akan ditandatangani pengamal undang-undang dimana ia akan di persembahkan kepada TMJ dalam tempoh tiga hari lagi.
“Kami akan mengumpulkan 50 sehingga 100 orang peguam untuk tandatangan memorandum tersebut.
“Memorandum tersebut akan menjelaskan lebih dalam tentang perkara-perkara dalam Perlembagaan Persekutuan untuk menyokong kenyataan TMJ.
“Kita nak perkemaskan dan memasukkan elemen undang-undang dalam tulisan TMJ supaya ia dapat diteliti dalam konteks undang-undang yang lebih baik,” katanya lagi.
Beliau turut menegaskan isi kandungan dan proses dalam meratifikasi Statut Rom adalah berbeza dan kerajaan perlu mengikut proses yang sebenar sebelum dikuatkuasakan pada Jun ini.