Stesen air di Sungai Langat lebihi paras bahaya

Oleh ARIF ATAN

Stesen air di Sungai Langat dekat Bukit Changgang di daerah Kuala Langat melebihi paras bahaya setakat 7.45 malam tadi.

Bacaan aras air di stesen di Lembangan Sungai Langat itu ialah 4.32 meter melebihi tahap nilai ambang 4.2 meter, mengikut laman rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Sementara itu, dua stesen air mencatatkan aras waspada iaitu Sungai Langat di TNB Pangsun dan Sungai Buloh di Parit Mahang masing-masing di daerah Hulu Langat dan Kuala Selangor.

Aras bahaya iaitu zon merah merujuk pada keadaan apabila aras air sungai mula melimpah dan boleh menyebabkan banjir dengan perpindahan perlu dilaksanakan jika perlu.

Bagi kategori waspada pula aras air sungai mula meningkat dari aras normal.

Untuk rekod, Lembangan Sungai Langat dengan keluasan 2,663 kilometer persegi antara tujuh lembangan sungai di Selangor.

Lembangan Sungai Langat yang mempunyai 261 anak sungai meliputi empat daerah iaitu Kuala Langat, Klang, Sepang dan Hulu Langat.