Stesen LRT KLCC ditutup

Oleh ROSLAN ZAMAN

Penutupan sementara Stesen LRT KLCC diumumkan sebentar tadi oleh wyarikat pengendali LRT, Rapid Rail Sdn Bhd.

Menerusi notis yang dimuat naik di laman X, stesen berkenaan ditutup berikutan terdapat laporan awal kepulan asap dikesan di bilik peralatan elektronik di dalam stesen.

“Penumpang hanya dibenarkan untuk keluar daripada stesen ini,” kata Rapid Rail.

Para penumpang dinasihatkan untuk menggunakan Stesen Persiaran KLCC atau Stesen Ampang Park bagi meneruskan perjalanan.

“Perkhidmatan bas perantara percuma turut disediakan di antara Stesen Ampang Park, Stesen KLCC dan Stesen Dang Wangi. Pihak bomba sedang berada di lokasi kejadian. Pengguna disarankan untuk bertenang dan patuhi segala arahan petugas operasi stesen,” tambahnya.

Sementara itu, pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan kejadian tersebut berpunca daripada panel kotak suis pam di stesen berkenaan terbakar.

“Pusat Gerakan Operasi JBPM Kuala Lumpur memaklumkan menerima maklumat erhubung kejadian pada 4.15 petang. Api telah dipadamkan oleh pasukan ERT KLCC sebelum pasukan bomba tiba di lokasi kejadian,” maklum jabatan tersebut.

Setakat ini, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan penutupan sementara Stesen LRT KLCC masih berkuat kuasa.

baca: Lama menyepikan diri, bekas wartawan ‘update’ gambar terbaru Anita Sarawak