Tindakan sebuah stesen radio yang mahu meraikan calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) tanpa mengira keputusan yang diperoleh mereka hari ini telah mengundang pujian daripada orang ramai.
Menerusi satu hantaran dimuat naik di laman Instagram, stesen radio ERA mengumumkan bahawa pelajar bertuah yang mendapat keputusan SPM hari ini akan menerima makanan malam secara percuma.
Insiatif yang dilakukan oleh pihak segmen 3 Pagi Era ini dibuat untuk meraikan dan menaikkan semangat pelajar supaya mereka tidak berputus asa untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tunggi lebih tinggi.
Pemberian makanan tersebut akan diadakan di Restoran Banglo Kita by Pak Azad di Kuala Lumpur bermula pada jam 8 malam yang mana hanya 20 pelajar terawal sahaja akan diberikan makanan percuma.
Antara syarat-syarat yang perlu patuhi oleh pelajar adalah mereka perlu menunjukkan slip keputusan peperiksaan serta membawa kad pengenalan untuk mengesahkan bahawa mereka adalah calon SPM 2024.
“Hari ini keputusan SPM sudah keluar kan? Tak kiralah apa pun keputusan kamu semua, sama ada A atau G. Kami tahu kamu semua sudah buat yang terbaik. Sebab itulah 3 Pagi ERA nak belanja makan malam.
“Jadi tak kira apa sahaja keputusan kamu semua, usaha itu yang patut diraikan. Janji dekat slip keputusan itu nanti, jangan pula ada keterangan TH (tidak hadir) ya!.” Katanya dalam hantaran itu.
Terdahulu, keputusan SPM 2024 dilaporkan mencatatkan pencapaian yang terbaik sejak 2013 dengan Gred Purata Kebangsaan (GPK) adalah sebanyak 4.49 berbanding 4.60 pada 2023.
Analisis juga menunjukkan bilangan calon memperoleh keputusan cemerlang iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran meningkat daripada 11,713 calon pada 2023 kepada 14,179 atau 3.7 peratus tahun ini.
Jumlah calon mendapat sekurang-kurangnya kepujian atau Gred C dalam semua mata pelajaran pada 2024 juga menunjukkan peningkatan iaitu seramai 86,040 calon, berbanding 83,112 calon pada 2023.
Sekadar info, bilangan calon juga turut menunjukkan peningkatan sebanyak 1.7 peratus dengan seramai 402,918 pelajar mendaftar untuk menduduki SPM tahun ini berbanding 395,924 pada tahun lalu.
Baca juga: Harap netizen hentikan spekulasi, Muaz jawab dakwaan mak tak suka ibu tunggal