Wanita manakah yang dapat menerima sikap suami yang laparkan perhatian perempuan lain walaupun isteri dan anak-anak ada di depan mata.
Itulah penderitaan dialami oleh wanita dikenali sebagai Roza semenjak berumah tangga dengan lelaki yang tidak begitu kacak namun sangat peramah dan manis mulutnya.
Masih berusaha untuk menyelamatkan rumah tangganya, berikut perkongsian Roza yang meminta pendapat dari orang ramai mengenai cara menghadapi sikap suaminya.
“Assalamualaikum pembaca semua. Masa tengah menaip ini, aku betul-betul sedang bersedih. Aku mengenali suami daripada zaman belajar lagi. Suami aku bukan kacak sangat, tetapi peramah dan bermulut manis. Selepas bercinta, barulah tahu rupanya dia memiliki ramai kekasih sebelum aku. Hidupnya memang dikelilingi perempuan.
“Maksudnya ketika zaman belajar, mesti ada sahaja perempuan yang akan menjadi tukang buat tugasan atau siapkan skrip pembentangan untuk suami. Dia memang sukakan perhatian seperti itu daripada perempuan. Sekarang kami sudah berkahwin, anak pula ada dua. Tetapi suami masih sukakan perhatian dari perempuan luar.
“Suami bukanlah jenis yang ada skandal. Contohnya, kami adalah pergi ke kedai beli barang anak. Sambil dukung anak, aku perasanlah ada perempuan perhatikan suami dan dia juga nampak lirikan mata gadis itu. Tetapi dia sengaja buat tak tahu. Namun pada masa yang sama, dia akan lalu di depan gadis itu dan senyum-senyum.
“Gadis itu pun membalaslah. Sampaikan nak bayar di kaunter, aku nampak gadis itu masih perhatikan suami. Dia pula sengaja tayang muka manis. Aku tegurlah, beritahu nampak perbuatan dia. Tetapi boleh dia jawab, ‘Saya memang selalu jadi perhatian. Biarlah orang nak pandang, sudah nasib saya di mana-mana disukai wanita’.
“Pergilah ke mana-mana, mesti ada sahaja yang menempel dengan suami. Dia pula sangat sukakan keadaan macam itu. Diperhatikan wanita konon dia terpaling kacak. Malah di tempat kerja juga ada anak dara tua yang selalu menggeletis dengannya. Aku masih cuba bersabar sebab dia seorang suami dan juga ayah yang baik.
“Tak pernah malas ataupun culas tanggungjawab. Suami hanya tak mampu menjaga pandangan dan gemar bertegur sapa dengan perempuan lain. Itu yang buatkan aku sedih kadang-kadang. Buatkan aku sedar bahawa diri ini hanyalah suri rumah. Tiada duit, tak bersolek cantik macam orang lain. Sibuk dengan kerja rumah dan jaga anak.
“Aku sedar diri yang hidupku ini hanyalah menumpang suami. Kadang-kadang, aku berdoa semoga suatu hari Allah terbitkan pula rasa sakit hati ini kepada suami. Apa perasaan dia apabila isteri sendiri pula diperhatikan. Ada lelaki lain yang senyum dan pandang isterinya. Adakah dia juga akan rasa merendah diri macam aku?
“Terfikir juga sekiranya aku mati kelak, adakah suami akan merinduiku? Dia sedar tak selama ini, aku ada disisinya. Uruskan segala makan pakainya. Atau dia terus sahaja pilih pengganti dari mana-mana perempuan yang sentiasa ada untuk mendampingi? Sebenarnya aku rasa yang kehidupan ketika bercinta dahulu, lagi seronok.
“Waktu itu aku belum terikat dengan tanggungjawab atau anak-anak lagi. Seronok betul dapat keluar bertemu janji, pergi kerja dan memiliki duit sendiri. Hidup masa itu hanya pergi dan balik kerja sahaja. Kalau lapar boleh pergi makan dekat kedai atau ibu masak dekat rumah. Hujung minggu ada masa terluang, pergi bertemu janji.
“Tiada tekanan fikirkan suami memandang gadis lain, fikir nak besarkan anak-anak atau kerja rumah yang tak pernah habis. Sempat juga fikirkan diri yang tak cantik ini. Tolonglah bantu aku berikan nasihat yang positif. Adakah aku terlalu merendah diri? Bagaimana aku nak hadap dan kuatkan hati ketika suami sendiri bermain mata.
“Apa yang harus aku lakukan ketika semua senyum-senyum dengan perempuan lain? Kuatkanlah hati aku. Memang aku sayangkan dia dan anak-anak. Dari seorang isteri yang sedar diri, Roza (Bukan nama sebenar).” Kongsi wanita itu menerusi satu hantaran di sebuah forum atas talian.
Baca juga: “Anak tak minat masuk sekolah agama jadi aku isikan borang SBP, sekali suami label aku perosak”