Seorang wanita menyesali sikapnya dahulu yang terlalu mengambil mudah mengenai hukum agama terutama mengenai lafaz talak di dalam rumah tangga.
Khuatir dengan status sebenar perkahwinannya selepas lapan tahun berumah tangga, berikut perkongsian wanita yang buntu mencari penyelesaian kepada masalahnya itu.
“Hampir masuk tahun kelapan aku mendirikan rumah tangga, ulang tahun kami pula dalam sebulan lagi. Sebenarnya sebelum menikah, aku ada seorang anak luar nikah dengan suami. Sebab itulah aku berkahwin dengan dia. Suami aku, pernah menagih. Selama lima tahun hidup dengan dia, aku memang sengsara. Selalulah bergaduh.
“Pergaduhan kami sampai memukul antara satu sama lain. Suami kalau pukul, teruk ya. Dia pernah simbah air panas, terajang muka aku. Tetapi sebab malu nak bercerai, aku tahan sahajalah. Kolotkan aku? Tetapi semua bendalah aku ingat dan pendam di dalam hati. Suami tak pernah meminta maaf dengan aku.
“Alhamdulillah tiga tahun lepas, suami aku berhenti menagih. Dia memang sudah tak ambil benda itu sepenuhnya. Dia juga menyesal sangat sebab pernah jadi penagih dahulu. Tetapi sampailah sekarang, aku kerap rasa diabaikan. Sebab suami memang lepas tangan dan biarkan sahaja aku buat banyak perkara, sendiri.
“Nak berbincang memang susah. Setiap kali nak adakan perbincangan, suami akan tidur atau buat lawak. Akhirnya, perbincangan tak menjadi. Akulah yang makan hati lagi. Dia hanya pandai bekerja. Balik rumah, makan kemudian layan aplikasi Youtube dengan anak. Tetapi memang tak pernah ajar anak kerja sekolah.
“Kemas rumah? Basuh pinggan? Cuci kereta atau pergi dobi? Pergi mimpilah, suami aku memang tak buat. Baru-baru ini, kami pergilah mahkamah selesaikan kes talak. Sebab dia pernah talakkan aku semasa kami bergaduh besar. Ketika kejadian, dia menagih lagi. Aku juga tumbuk dan pukul dia dengan penyangkut baju waktu itu.
“Marah sangat aku sebab suami bawa balik kawan-kawan dia untuk menagih dalam rumah. Dua hari selepas kena talak, dia rujuk dengan aku. Bodohkan aku? Tetapi aku dahulu memang malulah nak bercerai. Beberapa bulan selepas talak pertama, kami bergaduh lagi. Tak ingat puncanya, tetapi aku simbah air sejuk dekat dia.
“Selepas itu, suami talakkan aku dengan tiga kali lafaz. Dia juga sebut dengan talak tiga. Selepas itu, dia boleh terus pura-pura tidur. Tak tahulah kalau dia memang tidur atau pengsan. Sebab aku terkejut sangat ketika itu, meraung-raunglah macam orang gila. Selepas seharian tidur, barulah dia bangun. Aku ajaklah berbincang.
“Tetapi suami kata, dia tak ingat apa-apa. Dengan kejahilan diri ini mengenai hukum agama, aku anggap sahajalah lafaz tersebut sebagai talak yang kedua. Tak tahulah hukum agama mana yang aku pakai, kami buat rujuk sendiri. Nak pergi mahkamah? Suami aku memang tak nak sebab dia penagih masa itu. Takut ke dalam terus.
“Namun sejak daripada hari itu, suami tak pernah lafaz talak walaupun seteruk mana kami bergaduh. Aku kurang ajar sekali pun, memang dia tak buatlah. Namun selepas tiga tahun dia berhenti menagih, perangai sama sahaja. Suka marah aku, muka juga sentiasa nak baran. Suami memang selalulah mengabaikan aku.
“Selepas lapan tahun berkahwin, aku hanya dapat merasa jadi isteri solehah di atas katil sahaja. Kalau tak, kami lebih kurang macam kawan sahaja. Hanya bila bersama aku nampak dia macam suami. Selain daripada masa itu, lebih kepada rakan sebilik sahaja. Depan orang ramai, kami seperti pasangan bahagia sahaja.
“Sebab suami memang terpaling baiklah kalau di depan orang lain. Lembut, memang terpaling sopan. Aku sebenarnya sudah lama sangatlah tawar hati dengan dia. Dari awal tahun lagi aku rasa bebaskan diri. Kami baru selesaikan kes talak yang pertama di mahkamah. Talak itu juga telah disahkan jatuh oleh mahkamah.
“Sekarang ini aku tengah buntu untuk kes talak kedua. Aku nak failkan juga tetapi tak ingat tarikh suami lafazkan cerai. Bulan berapa pun aku tak ingat. Sebab kejadian itu memang sangat menyakitkan. Kita nak lupakan sampai tak ingat apa. Aku anggap ini kifarah sebab dahulu terlalu ambil mudah mengenai masalah talak.
“Tiba waktu aku nak sangat menguruskan perkara ini, sudah tak ingat apa langsung. Suami lagilah, talak pun dia buat tak ingat sama ada pernah lafazkan ataupun tidak. Dia buat macam aku pula yang berhalusinasi masa itu. Suami sudah bersedia ya nak bersumpah dalam mahkamah yang dia tak ingat apa-apa langsung.
“Aku susah nak failkan kes sebab tak ingat tarikh. Sekarang ini, sudah sebulan aku betul-betul tidur asing dengan suami. Dia pun tak pernah nak pujuk aku. Jadi lama-lama, kami sudah terbiasa dengan keadaan macam ini. Perkara ini membuatkan aku nekad nak berpisah supaya tak mengharap apa-apa lagi daripada dia.
“Bayangkan, makan minum aku pun dia tak pernah tanya. Kecewa sedikitlah sebab pernah seharian itu, aku tak makan. Tetapi dia buat tak tahu sahaja. Kalau ikutkan, boleh sahaja buat permohononan cerai. Tetapi aku tak nak tipu diri sendiri ataupun mahkamah. Aku nak selesaikan masalah lafaz talak ini dahulu.
“Masa dekat-dekat dengan tarikh lafaz itu, anak aku ada pergi klinik. Bolehkah aku pergi ke pergi klinik nak tengok rekod dekat sana? Aku sudah buntu. Tiada ‘rasa’ lagi dalam rumah tangga. Aku hanya mahu meluah. Kalau pembaca nak kecam sebab ambil mudah hal cerai, aku terima.” Kongsinya menerusi sebuah forum atas talian.
Baca juga: Baru cerai 2 minggu, wanita terkejut dapat tahu suami kahwin dengan peguam yang uruskan penceraian