Pergolakan rumah tangga antara sukarelawan misi banjir, Abang Viva dengan isterinya, Eva Noza Zakaria nampaknya memasuki episod baharu.
Hal ini berikutan pemilik nama sebenar Azwan Omar itu mendedahkan satu perkara mengejutkan dalam sesi siaran langsung yang diadakan di laman TikTok miliknya.
Menerusi siaran langsung tersebut, Abang Viva seakan memberi bayangan bahawa dirinya bakal keluar daripada rumah untuk tinggal berasingan dengan isterinya, Eva.
Mengakui sedang melalui fasa sukar di dalam rumah tangga, Eva Noza tidak menolak ketentuan Ilahi sekiranya ditakdirkan untuk berpisah dengan suaminya, lapor Mstar.
“Benda ini masih baru, saya tak tahu nak cakap macam mana. Saya hanya serahkan kepada Allah. Kalau Allah kata panjang (jodoh dan pernikahan), maka panjanglah ia.
“Kalau Allah kata setakat itu saja, maka kami akan ambil langkah seterusnya,” kongsi wanita yang bekerja sebagai pelatih kecergasan itu memetik laporan Mstar.
Mengulas lanjut, Eva Nova memaklumkan bahawa sedutan siaran langsung di TikTok Abang Viva itu ditonton ketika dirinya sedang berada di Kemaman, Terengganu.
Manakala suaminya yang juga personaliti media sosial terkenal itu pula menetap di rumahnya yang terletak di Cheng, Melaka.
“Suami buat live (siaran langsung) tanpa bincang dengan kita (saya). Kata dia nak keluar rumah. Kemudian orang forward (kirim) pula video itu kepada saya.
“Selepas itu, dia cakap lagi dalam live nak tinggal berasingan. Masa itu, saya di Kemaman. Tetapi dia masih ada di rumah. Kiranya kami masih duduk bersama.
“(Kami) masih tinggal sebumbung. Tetapi bila dia buat live dahulu, macam mengundang untuk netizen terjemah. Padahal kami bergaduh masalah dalaman,” ulas Eva lagi.
Eva yang kini berada di Desaru, Johor atas tuntutan kerja bagaimanapun mengakui dia dan suami masih berhubungan seperti biasa namun tidak mesra seperti dahulu.
Terdahulu, kisah rumah tangga antara Azwan dan Eva Nova mula meraih perhatian orang ramai sejak mereka melangsungkan perkahwinan pada 14 Oktober, tahun lalu.
Perkara ini berikutan timbul dakwaan bahawa Abang Viva menikahi Eva tanpa pengetahuan ibu bapanya selepas ia didedahkan oleh salah seorang ahli keluarganya.
Kemelut itu bagaimanapun dianggap selesai tidak lama kemudian kerana Abang Viva memuat naik hantaran di Facebook bahawa dia telah berdamai dengan keluarganya.
Baca juga: Tular video makan bersama, Mimi Lana masih tidak iyakan atau nafi hubungan cinta dengan Syafiq Kyle