Pemuda merayu peluk kaki minta dilepaskan, kantoi ambil gambar bawah skirt isteri orang

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pemuda merayu selepas dicekup kerana didakwa mengambil gambar dari bawah skirt wanita bergelar isteri orang dalam satu kejadian yang berlaku di sebuah stesen Transit Aliran Massa (MRT) di ibu kota.

Pemuda itu ditangkap sendiri oleh suami kepada mangsa yang sempat merakam situasi sewaktu pelaku bertindak merayu-rayu supaya dilepaskan selepas perbuatan tidak senonohnya akhirnya terbongkar.

Menerusi satu rakaman dikongsikan di akaun TikTok milik mangsa, kelihatan suaminya tidak bertindak terburu-buru sebaliknya memeriksa telefon bimbit milik pelaku terlebih dahulu untuk mendapatkan bukti.

Selepas menemukan bukti kukuh, suami mangsa tampak naik berang namun masih mampu mengawal emosinya sementara pelaku pula sudah berlutut merayu sambil memeluk kakinya.

“Panggil polis! Awak buat apa? Tolong panggil polis,” kata suami berkenaan dalam nada yang sedikit tinggi sebelum mengheret pelaku itu dipercayai untuk mencari petugas bertanggungjawab di stesen tersebut.

@shuqi97

👶 Cuma nak bawa baby naik MRT je… Tapi dia pula ambil gambar bawah skirt saya 📸😱 Memang kena hati-hati betul sekarang ni. #tamanpertama #kl #mrt

♬ original sound – 90’s co – 90’s co

Ketika di hadapan petugas stesen, pemuda itu memberi alasan bahawa gambar di bawah skirt mangsa diambil secara tidak sengaja sedangkan tujuannya hanya mahu merakam suasana di sekitar tempat kejadian.

Tidak lama kemudian, beberapa anggota polis bantuan sampai di lokasi sebelum mangsa bersama suami dan anaknya pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras untuk membuat laporan.

“Cuma nak bawa anak naik MRT sahaja. Tetapi pelaku pula ambil gambar bawah skirt saya. Memang kena hati-hati betul sekarang ini. Terus ke balai polis buat laporan,” tulis mangsa dalam keterangan video.

Setakat artikel ini ditulis, rakaman tersebut sudah berjaya meraih lebih daripada setengah juta tontonan dan 22,200 tanda suka daripada pengguna TikTok yang mana rata-ratanya memuji tindakan suami mangsa.

Hal ini berikutan suami mangsa mampu mengawal emosi sambil melindungi isterinya dan ramai juga pengguna berkongsikan pandangan sama bahawa mangsa tidak sepatutnya disalahkan berhubung pemilihan pakaian.

Antara komen yang ditinggalkan oleh pengguna TikTok berhubung kejadian tersebut.

Baca juga: Lebih 300 restoran di Singapura tutup setiap bulan kerana rakyatnya tak mampu makan luar