“Suami culas bayar nafkah, dia mahu menyimpan duit untuk masa depannya sendiri”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang wanita tidak menyangka, bahtera rumah tangga yang dilayarinya bersama suami akan ditimpa dugaan hanya selepas dua bulan melangsungkan perkahwinan.

Memilih suami lebih muda dua tahun dari usianya, wanita dikenali sebagai Matahari (bukan nama sebenar) itu tidak menduga lelaki terbabit turut memiliki jalan fikiran yang kurang matang.

Berikut perkongsian Matahari mengenai episod hitam di dalam hidupnya selepas berkahwin dengan lelaki yang mementingkan diri sendiri di atas nama ‘kesamarataan jantina’.

“Aku kenalkan diri sebagai Matahari, berumur di awal 30-an. Baru mendirikan rumah tangga dua bulan yang lalu. Suami muda dua tahun dari aku. Mahu minta pendapat daripada pembaca semua, adakah normal sekiranya seorang suami itu asyik berkira dan mengharapkan isteri untuk berkongsi perbelanjaan rumah?

“Macam tiada ‘common sense’. Aku dan suami masing-masing bekerja. Namun penat bertambah selepas pulang ke rumah kerana harus menguruskan rumah tangga dan memasak untuk suami. Manakala dia pula cuma pulang rumah, menunggu makanan dihidangkan kemudian terus bermain permainan video.

“Aku faham tugas seorang isteri itu adalah untuk menyenangkan suami. Tetapi aku memang penat kerana dia berterusan menyepahkan rumah. Langsung tidak bertimbang rasa untuk membantu mengurus rumah sekali. Paling terasa, waktu makanlah sebab dia selalu akan makan dahulu tanpa mengajak atau menunggu aku.

“Walhal, aku ini sanggup berlapar semata-mata nak makan dengan suami. Selepas itu, pinggan satu pun dia tak basuh selepas makan. Suami juga suka memakai baju sama dan berkedut berulang-ulang kali. Dia tak peduli kalau aku menegur mengenai pakaiannya. Kerana menurutnya, sudah merasa selesa seperti itu.

“Tetapi aku pula malu dengan keluarga mentua sekiranya mereka menganggap diri ini tak pandai mengurus suami. Walhal dia memang selesa dengan caranya sendiri. Sekiranya kami berdua keluar membeli, memang suami jarang menghulurkan tangan untuk mambantu aku memegang sebarang barang belian.

“Melainkan jika aku yang bising kerana sebagai perempuan, rasanya tidak kuat untuk mengangkat semua barang. Satu lagi perangai suami adalah dia suka mengamalkan ‘kesamarataan jantina’. Menurutnya kewangan, perasaan, usaha dan tenaga perlulah sama rata tidak mengira sama ada lelaki mahupun perempuan.

“Kita sedia maklumlah perempuan itu adalah makhluk yang lemah dan memerlukan perlindungan. Tetapi aku tak rasa dilindungi oleh suami. Hal ini kerana dia berterusan lepas tangan dan menganggap lelaki dan perempuan itu sama sahajalah. Lelaki tak perlu buat sesuatu perkara hanya untuk perempuan.

“Aku tahu dalam hidup rumah tangga kena bertolak ansur. Namun aku penat nak cari nafkah dan menguruskan rumah. Suami kadang-kadang culas tunai tanggungjawab untuk memberi nafkah. Sebab baginya, dia perlu untuk menyimpan lebih demi masa hadapan. Sedangkan mampu sahaja nak bayar nafkah.

“Aku perasanlah suami selalu rasa duit tak cukup. Mungkin sebab dia berkira dengan isteri. Penat apabila ada suami, tetapi rasa macam tak wujud. Semua kena berdikari, buat sendiri. Aku bersyukur ya Allah. Cuma kadang-kadang rasa berdosa pula sebab mengharapkan diri masih bujang,” katanya menerusi sebuah forum atas talian.

Baca juga: “Negeri sendiri tak ada air, sibuk sampai ke Uganda” – Netizen perli ADUN Pas