“Suami digantung kerja lepas penyondol pusing cerita, naik hantu sebab kena ‘reject’”

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang isteri kepada penjawat awam tidak menyangka, kebahagiaan rumah tangganya bersama suami hampir tergugat dengan kehadiran wanita bertudung labuh.

Rupa-rupanya, wanita terbabit cukup dikenali di kalangan orang sekitarnya dengan gelaran penyondol kerana sering mendekati lelaki terutamanya yang bergelar suami orang.

Berikut kami kongsikan ujian yang dijalani oleh sang isteri serta usaha keras suaminya demi menyelamatkan rumah tangga mereka selepas diganggu oleh ‘perempuan psiko’.

“Aku seorang wanita bekerjaya yang berusia 30 tahun. Sudah berkahwin, dikurniakan dua cahaya mata. Alhamdulillah. Aku baru balik dari satu kursus yang mengingatkan kembali kepada kisah hitam yang pernah terjadi tahun lepas. Masih trauma sangat-sangat dengan perkara yang sudah terjadi.

“Cerita ini berkaitan dengan suami aku. Umur kami sama. Dia adalah penjawat awam di sebuah jabatan yang agak popular. Dia lelaki yang berbudi bahasa dan budiman. Baik dan suka buat lawak bodoh. Bukan nak angkat bakul, namun selepas hampir 10 tahun kami berkahwin, dia memang tak pernah tinggi suara.

“Suami juga bukan jenis marah-marah, buat kerja rumah tanpa disuruh dan memang handal menjaga anak. Suami akan beritahu aku secara hikmah kalau dia ada terasa hati dan sebagainya. Kami jarang bergaduh. Kalau berkelahi pun tak lama. Kami juga suka berkongsi cerita, sudah seperti kawan baik.

“Alhamdulillah, Allah kurniakan aku seorang suami yang sangat baik. Bahagia sangat dengan rumah tangga. Cerita bermula apabila suami perlu menyertai satu kursus di bawah anjuran kementerian yang menguruskan hal ehwal berhubung hubungan luar. Dia mewakili jabatan untuk menyertai kursus tersebut selama empat bulan. 

“Semua baik sahaja mulanya. Setiap hari suami akan kongsi mengenai pencapaian dia atau perkara yang perlu dilakukan dalam kursus itu. Aku dan suami dahulu kenal dekat universiti. Kami ‘coursemate’ dan berkahwin muda. Jadinya, kami memang menyokong antara satu sama lain dalam kerjaya.

“Aku tak minat jadi penjawat awam. Tetapi aku menyokong suami kejar cita-cita dia. Impian dia adalah angan-angan aku, begitu juga sebaliknya. Cerita bermula di satu malam selepas dia balik kursus. Hati aku berdebar gila. Aku percaya ada yang tak kena dan ini adalah petunjuk dari Allah. Gerak hati isteri orang kata.

“Pukul 2 pagi aku macam tak boleh tidur. Memanglah esoknya aku ada peperiksaan besar. Tetapi ini bukan berdebar yang biasa. Suami dekat sebelah ini sudah lena. Aku tergerak hati cari telefon dia. Kebetulan telefon dalam poket seluar yang dia gantung, menyala. Aku pun pergi ambil. Ya, jalan cerita yang basi.

“Aku nampak mesej dari seorang perempuan pada pukul 2 pagi. Tak banyak pesanan lama, mungkin sudah dipadam. Tetapi cara perempuan itu mesej, sangat gedik pada pagi buta ini. Bukan perkara yang aku boleh tutup mata. Kalau aku bujang, tiadanya nak mesej suami orang dengan nada gedik pada jam 2 pagi tanpa alasan.

“Aku pula bukan jenis yang bersabar. Terus kejut suami dan tunjuk mesej itu. Aku tanya, ‘kau ada perempuan lain ke’ dengan air mata berjurai tiada henti. Dia sudah cuak dan jawab, ‘sayang ini serius salah faham’. Aku beritahu yang perkara ini tak dicari tetapi Allah yang tunjuk. Perempuan itu munculkan diri pada 2 pagi.

“Barulah aku tahu, suami ada rapatlah dengan seorang wanita semasa kursus hari itu. Jadi aku minta tunjukkan yang mana. Dia tunjuk gambar di akaun Facebook dan Instagram milik penganjur program. Nampak muslimah dengan tudung labuh tutup dada dan muka suci. Aku cakaplah dekat suami, ‘teruskan, pilihan yang baik’.

“Aku tak salahkan perempuan itu. Memang salah suami aku seratus peratus. Sebab dia yang sudah berkeluarga. Dengan gelabah dia cakap, ‘Ya Allah, memang tiada apa-apa dan hanya salah faham’. Tetapi aku masa itu sudah tak boleh nak fikir, inilah kali pertama rasa dikhianati yang sakit sangat.

“Esoknya aku ada peperiksaan manakala suami pula ada program dengan pegawai atasan. Dia habis kerja lewat malam jadi tak dapat balik rumah dan duduk di hostel. Aku pula terus minta adik ambil balik rumah dia selepas habis peperiksaan. Memang masa itu sudah tak boleh berfikir secara waras.

“Akhirnya suami jumpa aku dan kami bercakap dari hati ke hati. Dia mengaku rapat dengan perempuan itu tetapi memang tiada perkara serius. Tetapi memandangkan aku tak boleh terima, dia minta maaf sangat sebab tak kongsi perkara itu sebelum ini. Sebab dia dapat rasa yang aku tak suka cara perempuan itu.

“Waktu kursus perempuan itu memang suka cari suami aku. Menyendeng di sebelah dan akan sentiasa menunggu dia. Aku nampak dari gambar program tersebut. Suami juga mengaku bersalah sebab terlebih baik dengan perempuan itu. Aku terima maaf itu walaupun marah sebab keesokkan harinya, dia ada kursus lagi.

“Suami akan terbang dengan rakan sekerjanya untuk menyertai kursus di luar negara termasuklah perempuan itu. Naluri isteri, aku buka aplikasi Whatsapp sewaktu suami sedang tidur. Nampak mesej perempuan itu yang langsung tiada kaitan dengan kerja. Tanya soalan bodoh macam kenapa lelaki hisap rokok elektronik.

“Memang mereka selalu mesej mengenai urusan kerja. Tetapi pada akulah, kalau tak mesej pun kerja boleh jalan. Jadi dia memang cari pasal. Aku nampak juga panggilan dia yang suami tak jawab, banyak. Rupanya sebab hari itu suami pergi kelas lambat selepas kami bergaduh teruk. Perempuan itu risaulah kononnya.

“Aku buka perbualan suami dengan kawan dia pula. Nampaklah kawan itu menyakat suami dengan perempuan tersebut. Nasib baik suami aku balas, ‘mana ada’ macam itu. Dipendekkan cerita, aku sakit hati dan minta cerai. Sebab perkara ini bukan biasa-biasa dan membuatkan aku rasa bencikan dia.

“Selama ini aku anggap suami macam kawan yang paling terbaik tetapi dia berikan ruang kepada perempuan itu. Aku terus pergi ke mahkamah sebabnya dia masih layan perempuan itu dengan baik. Barulah dia nampak yang aku serius dan tak main-main. Terus pergi jumpa dengan perempuan itu beritahu tak boleh rapat lagi.

“Suami cakap isterinya tak boleh terima dan dia enggan kehilangan keluarganya. Dia kata kena selesaikan secara baik sebab mereka tetap banyak kerja sekali selepas ini. Memang berbudi bahasakan dia, nyampah. Masalahnya, perempuan itu tak boleh terima. Walaupun dia tahu kami hampir bercerai-berai.

“Perempuan itu meroyan dan nekad untuk mendapatkan perhatian daripada suami. Aku tidak halang dia berkawan. Tetapi rakan perempuan suami yang lain tidaklah seperti itu sebab mereka tahu jaga batasan.  Dia pula macam nak buat suami aku ini haknya. Sudahlah gedik. Perempuan seorang ini serius lain macam.

“Perempuan itu selalu mesej suami aku. Waktu program berjalan, tunggu suami aku sebab nak pergi mana-mana bersama. Duduk pun nak bersebelahan. Selepas itu, aku dapat tahu rupanya dia banyak kes dengan suami orang lain. Memang pegang gelaran ‘penyondol’ disebabkan kes-kes dia dahulu.

“Perkara ini aku sahkan daripada beberapa orang sumber. Suami aku juga terus tarik brek selepas tahu kisah-kisah penyondolan dia. Kalau tengok imej dia memang sukar untuk dinilai dengan muka suci berlitup. Selama ini suami tak ambil serius sebab dia tak anggap perempuan itu lebih daripada sekadar kawan.

“Suami aku terus tak endahkan setelah perempuan itu memang jelas nak menyondol. Dia meroyan siap cakap suami pengecut dan takut bini. Jadi aku mesej perempuan itu guna telefon dia. Panjang, tetapi isinya nasihat supaya jadi perempuan bermaruah sebab malu dekat mak ayah kerana tak tahu perangai anaknya yang bertutup litup.

“Selepas kes itu suami memang berusaha ambil hati aku semula. Setiap hari isnin dia akan pergi kelas awal supaya tak duduk tepi atau sebaris perempuan itu. Barulah tak dimasukkan ke dalam kumpulan sama. Sebab tempat duduk urusetia yang susunkan. Sebelum pergi program pun suami buka Whatsapp Web dalam telefon aku.

“Memang aku nampaklah semuanya, termasuklah kelakuan perempuan itu yang tak habis ‘block’ kemudian ‘unblock’ suami. Ikut dialah, asalkan suami tak melayan. Perempuan itu juga banyak tunjuk perasaan di dalam kelas kepada suami tetapi dia buat tak tahu sahaja. Selepas dua bulan, hubungan kami suami isteri semakin baik.

“Aku selalu juga perli suami tentang kejadian itu ketika bergaduh. Tetapi hubungan kami memang tiada masalah. Satu hari, ada rumah terbuka di pusat latihan di mana kursus tersebut berlangsung. Suami ajak teman. Aku bersetuju sebab dia sudah berhenti berhubung dengan perempuan itu. Muka dia nampak teruja sangat ketika itu.

“Majlis itu agak besar sebab melibatkan pegawai tinggi. Ini adalah kemuncak cerita ini. Mula-mula tenang sahaja sebab aku ada kenal beberapa kawan suami. Bertegur sapa macam biasa sampailah sebelum majlis perasmian. Perempuan itu tiba-tiba datang mendekatiku. Tidak terlalu dekat, cukup kami nampak antara satu sama lain.

“Aku ditenung dengan muka marah dan menyampah. Seperti sengaja mencabar. Aku terkejut sangat sebab berniat nak mengelak daripada jumpa dia. Aku sedar sebelum berjalan terus. Tetapi disebabkan tindakan balas atas perbuatan dia sebelum ini, aku angkat jari tengah kepadanya ketika beredar daripada situ.

“Perempuan itu terus berlari datang dan menjerit kenapa kau datang!’. Banyak kalilah sebelum dia tolak aku. Ya, dia mengasari aku secara fizikal, macam drama. Kejadian berlaku terlalu cepat. Jerit macam meroyan cakap suami aku yang nak dia. Masa itu, dia siap naik tangan dan tarik tudung aku. Sakit hati, rasa nak lawan dia balik.

“Sudahlah menggatal dengan suami orang, dia pula nak mencabar aku. Tetapi suami halang dan tarik aku. Tudung sudah tercabut kena tarik tetapi tak sempat buat apa-apa sebab suami peluk dan tarik aku bawa lari dari situ. Aku terduduk. Suami juga nampak terkejut sangat dengan apa yang sudah berlaku.

“Seperti dijangka, cerita pun tersebar sebab benda tengah panas. Akan tetapi, yang tersebar itu sudah jadi fitnah. Cerita berubah 360 darjah. Kononnya suami yang kejar dia dan aku datang menyerang sebab tak puas hati. Sedangkan dia menyerang aku. Penyondol serang isteri. Sudahlah kacau suami orang, serang kita secara fizikal pula.

“Perkara ini jadi besar sebab melibatkan penjawat awam. Suami memang kena teruk. Dia yang dipersalahkan. Sebab cerita tersebar aku yang serang. Laporan semasa itu juga meletakkan semua kesalahan kepada kami. Bodohnya kami waktu itu sebab tak nak panjangkan cerita. Sampai hari ini menyesal tak buat laporan polis.

“Tetapi Allah Maha Mengetahui. Suami juga selalu cakap biarlah orang mengata, kita tahu Allah ada. Perempuan itu boleh sahaja nak marah suami, jumpa hari-hari kan di kelas. Tetapi tak berani sebab bukan dia yang dikejar. Penyelesaian dia, ‘play victim’. Tetapi orang percaya ya. Sebabnya dia nampak sesuci embun. 

“Kejadian ini memang jadi besarlah. Kerjaya suami berada di hujung tanduk. Kasihan dia, niat murni nak ajak isteri bersenang. Sekali ada penyondol psiko sakit hati berani datang serang isteri orang. Penyondol pula nampak suci murni. Suami hampir kena tindakan tatatertib. Kenaikan pangkat juga kena gantung.

“Tak sangka perempuan itu sakit hati, tak boleh terima sebab tak berjaya menyondol rumahtangga orang. Sejujurnya aku masih sangat trauma dan sakit dengan kejadian tersebut sebab ia berlaku dia acara umum. Kami juga disalahkan di atas perbuatan orang lain. Baru-baru ini kawan aku ada tunjuk gambar dia.

“Dunia ini kecil, kawan aku cerita tentang penyondolan lain melibatkan dia. Hati aku terus berdebar-debar dan badan terketar selepas tengok gambar tersebut. Betul-betul trauma. Aku doakan perempuan itu berubah, bertaubat dan ditemukan jodoh supaya dia tak kacau rumahtangga orang lain.

“Sumpah aku rasa dia psiko sebab nampaklah macam tak rasa bersalah langsung. Pendek cerita, jabatan suami buat siasatan lanjut dan mendapati dia tak bersalah. Mereka juga tahu kisah penyondolan lain perempuan itu. Alhamdulillah, suami tak dikenakan tindakan tatatertib dan dinaikkan pangkat tahun ini.

“Aku perasan suami tak tinggal solat berjemaah Subuh, Maghrib dan Isyak di masjid selepas kejadian itu. Dia bersyukur atas semua ujian sebab dapat rasa macam Allah tarik kerana terlalu jauh. Tanpa ujian ini mungkin dia tak sedar. Bila-bila masa sahaja Allah boleh tarik semua nikmat. Dia juga tak kisah dengan cakap-cakap orang.

“Asalkan keluarga masih ada di sisi. Jadi aku berdoa supaya Allah melindungi suami dan keluarga kami. Alhamdulillah, kami berjaya lalui ujian ini. Aku tak tahulah apa lagi yang akan kami hadapi kelak. Tetapi semoga Allah menjaga hubungan kami sampai ke syurga.” Kongsi Tulip (Bukan nama sebenar) menerusi sebuah forum atas talian.

Baca juga: “Sedekah sana sini, tapi hutang tak bayar, alasannya Allah belum izin untuk dia bayar hutangnya kat aku”