Suami hadap amukan ibu bapa, akui ada masalah kesuburan padahal tiub isteri yang tersumbat

Oleh WAN SITI AMINAH

Siapa sangka, seorang suami rela membuat pengakuan bahawa dirinya mengalami masalah kesuburan demi melindungi isteri kesayangan dari ‘serangan’ keluarganya.

Malah lelaki berkenaan juga sanggup dipersalahkan ekoran tidak dapat memberikan cucu kepada ibu bapanya walaupun sudah berumah tangga selama empat tahun.

Difahamkan, isteri kepada lelaki berkenaan telah disahkan mengalami masalah tiub fallopian tersumbat sekali gus membuatkan pasangan itu sukar mendapatkan zuriat.

Lelaki itu bagaimanapun membuat keputusan untuk meletakkan kesalahan tersebut pada bahunya dan merahsiakan masalah isterinya daripada pengetahuan keluarga.

Hal tersebut membuatkan sang isteri merasa bersalah sehingga ke hari ini terutama apabila melihat ahli keluarga suami menjadikan lelaki berkenaan sasaran ‘amukan’.

Tular di media sosial, perkongsian itu dibuat oleh si isteri tanpa mendedahkan identiti sebenar menerusi hantaran dimuat naik di laman X (dahulu dikenali sebagai Twitter).

“Saya bersyukur sangat dapat suami jenis memahami. Tetapi sampai sekarang, saya rasa bersalah terhadap dia. Tahun lepas, kami buat ujian kesuburan dan dapat tahu kedua-dua tiub fallopian saya tersumbat.

“Hati saya hancur luluh sebab memang nak sangat anak. Suami pula sangat tenang ketika menerima hasil ujian itu. Suami mengambil keputusan tak nak beritahu sesiapa mengenai hal ini. Dia kata nanti teruk orang salahkan saya.

“Jadi suami yang menanggung ‘kesalahan’ itu. Dia beritahu semua orang bahawa dirinya mengalami masalah kesuburan. Jadi kami kena buat proses rawatan kesuburan (IVF), tak boleh mengandung secara semula jadi,” katanya.

Mengenangkan kembali waktu suami mendedahkan masalah kesuburannya kepada keluarga mentua, wanita berkenaan menyifatkannya sebagai ‘malapetaka’ baginya.

Hal ini kerana ibu dan bapa mentuanya mengamuk selepas mendengar pengakuan anak lelaki mereka lalu menyebabkan sang isteri semakin dihurung rasa bersalah.

“Waktu beritahu ibu dan bapa suami, memang sangat disaster (malapetaka). Mereka mengamuk, cakap keputusan itu tipu. Anak mereka elok sahaja, tak akan ada masalah. Entah-entah saya yang ada isu.

“Kakak dia siap telefon tanya ‘betul ke isteri kau itu normal, entah-entah ada perkara yang dia sorok’. Kejadian ini membuatkan saya faham kenapa suami nak sorok hal sebenar daripada keluarga dia.

“Tetapi saya rasa sangat bersalah sebabkan suami yang menanggung semua kesalahan itu padahal keputusan ujian terhadap sperma dia normal sahaja,” kesal sang isteri.

Wanita itu bagaimanapun lega kerana ibu bapanya sendiri menerima khabar tersebut dengan hati terbuka malah sedia menampung sebahagian daripada kos rawatan IVF.

Pada masa yang sama, wanita itu turut meminta pengguna media sosial memberikan cadangan jika ada cara semula jadi untuk memulihkan tiub fallopian yang tersumbat.

“Suami memang bekerja keras mengumpul duit untuk rawatan IVF kami. Kedua belah keluarga memang tak tahu yang saya ada masalah. Suami beritahu semua, dia yang bermasalah.

“Teruk saya menangis waktu dia beritahu ibu bapa saya sebab perkara itu tak betul. Tetapi Alhamdulillah, ibu bapa saya memberikan sokongan yang penuh. Siap tolong tambah duit untuk IVF.

“Buat saat ini, kami belum mulakan proses IVF. Jadi ada sesiapa tahu petua semula jadi yang mujarab untuk menyembuhkan masalah tiub fallopian yang tersumbat?” Soal wanita itu.

Sekadar info, tiub fallopian adalah organ reproduktif wanita yang menyalurkan telur daripada ovari ke dalam organ rahim di mana persenyawaan dan implantasi berlaku.

Baca juga: “Aku ingat lepas dapat anak perempuan ni suami akan berubah, tapi makin banyak pula dia curang…”