Suami syak isteri jadi punca lambat dapat anak, pernah tiduri 4 lelaki sebelum kahwin

Oleh WAN SITI AMINAH

Tular satu perkongsian baru-baru ini daripada seorang suami mengenai masalah rumah tangga kini dihadapinya selepas rahsia isteri tersayang yang selama ini tersimpan rapi akhirnya terbongkar.

Rahsia tersebut bukan sahaja telah membuatkan hatinya remuk malah turut memberikan kesan cukup mendalam kepada rumah tangganya yang baru sahaja dibina dalam tempoh setahun lebih.

Segalanya bermula apabila isterinya mendedahkan punca sebenar mengapa selaput daranya sudah tiada berikutan sebelum ini, wanita terbabit menggunakan alasan dirinya aktif bersukan sehingga kehilangan mahkotanya itu.

Rupa-rupanya, wanita terbabit sudah tidur dengan empat orang lelaki sebelum mengambil keputusan mendirikan rumah tangga dengan suaminya dalam pengakuan yang dibuat pada awal bulan Jun.

Sang suami yang tidak dapat menahan perasaan amarah bertindak menghalau isterinya keluar daripada kediaman mereka malah wanita berkenaan dikatakan belum pulang ketika perkongsian tersebut dibuat.

“Masa awal kahwin dahulu, isteri cakap yang dia tiada dara sebab banyak melakukan aktiviti sukan seperti berbasikal dan sebagainya. Tetapi selepas setahun lebih berkahwin, barulah dia mengaku itu bukanlah punca sebenar.

“Rupa-rupanya, isteri pernah tidur dengan empat lelaki sebelum berkahwin dengan aku. Patutlah punya susah kami nak dapat zuriat sampai sekarang. Sebab dia tipu gila bab*. Hati aku remuk.

“Untuk pengetahuan, rahsia ini aku tahu sejak awal bulan hari itu. Tetapi sampai sekarang aku masih buntu, tak tahu nak buat apa. Isteri sekarang tidur di rumah rakan sekerja dia sebab aku halau,” katanya dalam perkongsian itu.

Perkongsian tersebut dibuat oleh sang suami menerusi satu hantaran dimuat naik di platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter) tanpa mendedahkan identiti mana-mana pihak yang terlibat.

Difahamkan, suami berkenaan masih lagi mencari jalan penyelesaian di dalam masalah rumah tangganya selain merasa berbelah bahagi sama ada mahu bercerai atau sebaliknya ekoran merasa malu dengan keluarganya.

“Ikut kata hati, memang nak ceraikan isteri. Namun otak pula kata, takut malu dengan keluarga kalau bercerai-berai. Memang betul-betul tengah buntu aku sekarang ini. Hancur hati.” Ujar lelaki terbabit.

Tinjauan mendapati perkongsian tersebut mengundang perbincangan hangat di mana ramai pengguna memberi cadangan agar suami terbabit menceraikan isterinya jika tidak mampu menerima sejarah silam wanita itu kerana khuatir berlaku lagi konflik di kemudian hari.

Ramai juga pengguna tidak bersetuju dengan tindakan lelaki terbabit menyalahkan situasi itu sehingga menjadi punca mereka sukar mendapatkan anak memandangkan zuriat adalah rezeki kurniaan Tuhan bukanlah bergantung kepada masa lalu seseorang.

Baca juga: “Terpengaruh tengok kawan duduk rumah besar” – Wanita akui lebih tenang lepas pindah ke rumah kecil