Suami Heliza Helmi tiada niat menipu, dakwa turut jadi mangsa hingga rugi RM20.7 juta

Oleh MALAYSIADATELINE

Suami kepada selebriti, Heliza Helmi iaitu Datuk Mahadi Badrul Zaman mengakui langsung tidak berniat menipu orang ramai sehingga mengalami kerugian puluhan juta ringgit selepas terpedaya dengan satu skim pelaburan.

Usahawan itu sebaliknya mendakwa dilantik sebagai wakil syarikat atau ketua ejen pemasaran yang diberikan tugas untuk menjemput dan memperkenalkan skim pelaburan tersebut kepada orang ramai sejak tahun 2022.

Mahadi juga memaklumkan dirinya turut menjadi salah seorang mangsa kepada skim pelaburan yang dikatakan patuh syariah itu dengan melabur sebanyak enam kali sebelum mengalami kerugian mencecah RM20.7 juta.

Sehubungan dengan itu, Mahadi telah tampil membuat laporan berhubung kes skim pelaburan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada Jumaat lalu, lapor Berita Harian.

“Saya telah membuat enam pelaburan dan mula melabur di dua syarikat milik individu sama ini sejak 2022 sebelum dilantik untuk memperkenal serta mempromosikan skim pelaburan yang ditawarkan.

“Ini kali pertama saya tampil membuat pendedahan supaya semua pihak, terutama mangsa dan ejen lain bawah saya faham bahawa saya tidak ada niat menipu mana-mana pihak. Malah saya juga mangsa.

“Wallahi, saya rasa bersalah dan terkesan kerana menjadi punca atau ‘bridge’ (jambatan) kepada skim ini,” dakwa usahwan terbabit di dalam satu sidang media semalam memetik laporan Berita Harian.

Ahli perniagaan itu juga mendakwa tidak mengetahui ke mana hala tuju wang pelaburan diserahkan kesemua 186 pengadu dengan membabitkan keseluruhan kerugian berjumlah RM60.7 juta.

Jelas Mahadi, setiap syarikat berkenaan mempunyai pakar dan panel syariah bertauliah serta profesional termasuk peguam yang ditugaskan untuk membuat dokumen perjanjian antara pelabur dengan syarikat.

Menurut Mahadi, semua pelaburan pada awalnya berjalan secara lancar termasuk pemberian dividen seperti mana yang tercatat dalam dokumen perjanjian sebelum mula menangguhkan pembayaran keuntungan pada tahun ini.

“Syarikat berkenaan mengeluarkan memorandun yang memaklumkan penangguhan bayaran (dividen) pada Jun 2024 kepada Januari tahun ini. Sepatutnya pihak syarikat membayar dividen kepada pelabur pada Januari tahun ini.

“Namun ia tidak dilaksanakan. Berikutan tiada penyelesaian, kami kemudian telah berjumpa dan berbincang dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

“Pertemuan dibuat untuk mengambil langkah selanjutnya seperti membuat laporan polis,” katanya yang memberitahu bahawa pihaknya menerima banyak panggilan daripada pelabur berkaitan isu berkenaan.

Baca juga: Suami selebriti jadi dalang skim pelaburan, perdaya lebih 140 pelabur, anggaran kerugian RM43 juta