Suami Intan Najuwa upah 3 pengasuh, jururawat peribadi jaga anak agar isteri cukup rehat

Oleh WAN SITI AMINAH

Suami kepada pelakon, Datin Intan Najuwa iaitu Datuk Ahmad Azraf Azman rela membelanjakan wang untuk mengupah tiga pengasuh bagi memastikan isterinya tidak kepenatan menguruskan cahaya mata mereka.

Intan menerusi hantaran dimuat naik di Instagram Story memaklumkan bahawa kehadiran pengasuh berkenaan adalah inisiatif suaminya sendiri supaya pelakon itu dapat berehat secukupnya selepas melahirkan anak.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh Intan selepas ditanya peminat mengenai bilangan pengasuh anak perempuan sulungnya iaitu Imane Lunara dalam satu sesi soal jawab yang diadakan menerusi akaun Instagram miliknya.

“Luna mempunyai tiga orang pengasuh sekarang. Mereka semua tinggal bersama kami. Satu pengasuh membantu pada siang hari dan seorang lagi tolong di waktu malam. Satu lagi pengasuh ditugaskan untuk mengurus barang-barang Luna.

“Suami yang merancang semua ini bagi memastikan saya dapat rehat yang cukup dan boleh menjaga diri sendiri. Rasa bersyukur untuk semua yang suami lakukan untuk saya. Kepada ibu lain di luar sana, janganlah menghakimi saya ya?

“Saya juga menjaga Lunara. Kehadiran pengasuh hanya untuk membantu dan memberi sokongan kepada saya dalam semua perkara. Malah saya juga tidaklah meminta. Suami yang aturkan semuanya,” kata pelakon berusia 28 tahun itu dalam hantaran tersebut.

Perkongsian dimuat naik oleh Intan menerusi Instagram Story untuk menjawab soalan peminatnya.

Menerusi perkongsian seterusnya, pemilik nama sebenar Intan Najuwa Abdul Wahid itu turut mendedahkan usaha sang suami dalam memastikan kesihatan Imane Lunara sentiasa berada di dalam keadaan baik.

Rupa-rupanya, ahli perniagaan terbabit turut membayar seorang jururawat peribadi untuk memantau kesihatan bayi mereka selama 24 jam sehingga membuatkan Intan tidak lagi merasa panik jika berlaku sesuatu.

“Suami juga mengupah seorang jururawat peribadi untuk menjaga Luna 24 jam. Sekarang saya terasa sangat lega! Saya betul-betul bersyukur di atas usaha suami. Dia juga sediakan mesin pemantau vital (suhu badan, kadar denyutan jantung, oksigen dan tekanan darah) di rumah,

“Jadinya jika saya bimbang dengan Luna, jururawat boleh memeriksanya dengan segera. Tiada lagi kahak! Saya suka sangat! Jururawat itu melakukan kerja yang sangat bagus dalam menjaga Luna dan membantu pengasuh.

“Rasa kurang tekanan sekarang. Saya juga tidak lagi panik. Apabila ibu merasa gembira, sememangnya semua orang di dalam rumah akan turut merasa gembira,” kata pelakon drama bersiri Kekasih Paksa Rela itu.

Terdahulu, Intan melangsung perkahwinan dengan Datuk Ahmad Azraf dalam satu majlis yang cukup meriah pada 18 Ogos 2023 sebelum dikurniakan cahaya mata pertama pada 15 Disember, tahun lalu.

Baca juga: Dikecam teruk, rupanya ini bukan kali pertama Azlan Komeng berpoligami