Jika dilihat dalam sesetengah kes para suami meletakkan harga terlalu tinggi ketika cerai tebus talak atau khuluk.
Khuluk ialah satu bentuk penceraian yang diminta oleh isteri dengan memberikan pampasan kepada suami, biasanya dalam bentuk bayaran atau memulangkan mas kahwin.
Dalam perkongsian di Telegram, peguam syarie, Fahmi Ramli menjelaskan bahawa tiada peruntukan dalam undang-undang syariah yang mewajibkan isteri membayar wang tebus talak tanpa persetujuan diri.
Dalam perkongsian tersebut Fahmi memaklumkan seorang wanita bertemunya di luar Mahkamah Syariah baru-baru ini.
“Ketika itu saya sedang menanti klien kerana perbicaraan kes saya ditetapkan pada jam 11 pagi. Agaknya dia kenal saya kot.
“Dia datang dan tegur saya di kerusi luar Mahkamah. “Saya folllow tuan di FB dan TT. Saya nak tanya tuan, memang betul ke kalau isteri mintak cerai, dia kena bayar RM50k?”
“Suami saya sebab dia tak nak ceraikan saya. Dia kata sebab saya minta cerai, Mahkamah tetapkan RM50k untuk perceraian ni diberi kepada suami,” ujarnya di Telegram.
Jelasnya beliau pernah melihat wanita yang sanggup bayar RM20,000 untuk bercerai, bila keluar Mahkamah mulalah menyumpah sistem undang-undang tidak adil.
Kongsi Fahmi, andai kata ada salah satu pihak yang tidak bersetuju maka kes akan dibawa kepada Jawatankuasa Pendamai sebagaimana diperuntukkan dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam.
Kalau isteri setuju tebus talak, tapi suami tak setuju dengan jumlah yang diletakkan?
“Di dalam hukum syarak dan undang-undang Konsisten menyatakan perceraian secara tebus talak ni mesti atas kerelaan antara suami dan isteri.
“Jika ada pertikaian tentang jumlah tu, Seksyen 49(3) Enakmen Keluarga Islam Kedah menyebut, Mahkamah boleh taksirkan jumlah ikut Hukum Syarak dengan beri pertimbangan pada taraf dan sumber kewangan pihak-pihak. Jadi, kena bicara untuk tentukan jumlah sahaja.
Kalau Mahkamah dah taksir, isteri atau suami tak setuju dengan jumlah tu?
“Kalau salah satu pihak tak setuju dengan taksiran jumlah yang Mahkamah tentukan, Mahkamah tak boleh paksa untuk isteri bayar tebus talak tu dan tak boleh juga paksa suami untuk terima.
:Senang cerita, macam jual beli. Tak ada sapa boleh paksa seseorang untuk jual atau beli sesuatu kalau tak nak. Mesti kena ada kerelaan dua-dua pihak.
“Kalau tak berjaya, Mahkamah akan lantik Jawatankuasa Pendamai dan ikut proses Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam,” kongsinya di Telegram.
Baca juga: Gelang emas 916 jatuh dalam lubang tandas, wanita saran jangan beli perhiasan jenis ini