Kemarahan adalah emosi yang normal namun jika tidak dikawal, ia boleh memberi kesan mendalam termasuklah terhadap hubungan pasangan suami isteri, keluarga atau rakan sekerja.
Hal ini berikutan ketidakupayaan untuk mengawal emosi boleh menjejaskan kebolehan seseorang untuk menilai situasi atau membuat sebarang keputusan dengan wajar seperti kebiasaannya.
Masalah itulah yang kini dihadapi seorang suami apabila membiarkan api amarah menguasai dirinya sehinggakan tergamak melafazkan cerai talak tiga terhadap isteri dan ibu kepada anak-anaknya.
Dalam perkongsian dimuat naik di platform media sosial, lelaki terbabit memaklumkan bahawa kejadian berpunca daripada ‘satu’ kesilapannya isterinya yang terlibat dalam insiden sebelum melanggar sebuah kenderaan mewah.
Susulan kejadian itu, sang suami yang terlalu larut dalam emosi sudah tidak mampu mengawal kemarahannya dan bertindak melafazkan talak tiga terhadap wanita terbabit dipercayai tanpa sengaja.
“Aku tercerai isteri talak tiga sebab dia langgar kereta milik orang lain. Kenderaan mahal pula itu. Aku sedar yang diri ini bodoh. Tetapi aku sekarang ini sudah tak tahu nak buat apa,” kata lelaki berkenaan.
Bertujuan untuk mencari jalan penyelesaian, perkongsian itu dibuat oleh sang suami tanpa mendedahkan identiti sebenarnya menerusi satu hantaran yang dimuat naik di platform X (dahulunya dikenali sebagai Twitter).
Menurut lelaki terbabit, masalah itu tidak hanya memberi kesan kepada masa depan hadapan tangga sahaja malah turut menentukan nasib keempat-empat cahaya mata yang mereka miliki.
Perkongsian tersebut berjaya mengundang perbincangan hangat di media sosial di mana rata-rata pengguna hairan bagaimana lelaki terbabit boleh melafazkan talak hanya kerana isteri melanggar kereta.
Ramai juga pengguna tampil berkongsi cadangan buat sang suami menyelesaikan masalahnya namun haruslah segera ke mahkamah syariah ekoran lafaz talak bukanlah perkara yang boleh dipandang ringan.
“Langkah pertama pergi ke mahkamah dahulu. Sebabnya lafaz itu dibuat di luar mahkamah. Jadi kena sahkan dulu lafaz cerai itu. Kemudian mahkamah yang akan sabitkan jatuh talak berapa,” kata seorang pengguna.
“Kalau langgar kereta dan masih ada insurans, orang itu boleh tuntut insurans terhadap kita. Kita pula tuntutlah kerosakan sendiri untuk baiki kereta. Kenapa sampai nak bercerai. Kemalangan ini selalu berlaku, bukannya boleh elak sangat.” Kesal pengguna lain
Baca juga: Rupanya cara rendam mi kuning tu penting, nak hilangkan rasa kapur, tambah je 1 bahan ni!