Seorang suami terpaksa mengharungi pelbagai cabaran untuk menjaga isteri kesayangannya yang terlantar sakit di hospital termasuklah sering diperli oleh rakan sekerja.
Menurut suami terbabit, kata-kata perlian seperti ‘macam kau seorang sahaja ada isteri’ acap kali diterimanya ketika memohon pelepasan cuti untuk urusan rawatan orang rumahnya.
Namun walaupun diperli, suami itu tetap mengambil cuti kerana baginya duit ataupun peluang pekerjaan yang lain masih boleh dicari namun masa bersama insan tersayang tidak mampu digantikan.
Pengalaman menjaga isterinya hingga ke akhir hayat itu dikongsikan oleh suami terbabit menerusi satu hantaran tular dimuat naik di akaun TikTok miliknya hingga berjaya meraih sebanyak 3.3 juta tontonan.
“Dahulu dengan arwah isteri, aku selalu ambil cuti. Pernah cuti tanpa gaji selama berbulan-bulan sebab jaga arwah sakit sampai ke akhir hayatnya. Aku tak kisah hilang kerja atau hilang duit.
“Tak hiraulah orang nak kata apa dekat aku sekalipun. Aku lebih pentingkan keluarga. Duit kita boleh cari lain. Tetapi kasih sayang itu, susah kita nak cari. Ingat, kasih sayang dan masa bersama keluarga susah untuk dibeli.
“Tetapi duit dan harta, kita boleh cari lagi dalam dunia ini. Hidup semua manusia itu berbeza, tak akan sama dengan kita. Masing-masing ada tanggungjawab sendiri,” katanya dalam perkongsian itu.
Difahamkan, isteri kepada lelaki itu menghembuskan nafas terakhirnya pada Januari tahun lalu akibat kanser limfoma tahap tiga dan meninggalkan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia empat tahun.
Lelaki itu kini sudah kembali berumah tangga dan berjanji akan memberikan layanan terbaik buat isterinya sama ada di waktu sihat atau sakit dan menghargai wanita terbabit selagi masih hidup.
“Walaupun sudah berkahwin buat kali yang kedua, aku akan tetap jaga isteri yang sekarang. Kalau dia sakit sekali pun, aku jaga macam arwah isteri yang dahulu. Selagi dia masih hidup, aku akan hargai isteri.” Ujarnya.
Baca juga: 8 daripada 10 isteri tak letak nama suami sebagai penerima hibah sebab takut laki kahwin lain