Siapa sangka, seorang suami tergamak melafazkan talak terhadap isterinya selepas wanita berkenaan bertarung nyawa demi melahirkan anak mereka.
Lebih memburukkan keadaan, lafaz cerai talak tiga tersebut dibuat ketika pasangan berkenaan masih berada di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) di sebuah hospital.
Perkara itu dikatakan berpunca daripada sang suami yang tidak menerima ketentuan Tuhan apabila isterinya melahirkan bayi syurga iaitu penghidap sindrom Down (SD).
Difahamkan, insiden itu hanya salah satu contoh dari banyak kejadian yang berlaku di hospital disaksikan atau dialami sendiri oleh wanita yang baru sahaja bergelar ibu.
Pendedahan tersebut dibuat oleh para wanita menerusi satu hantaran tular yang berjaya mencuri perhatian ramai selepas dimuat naik di platform media sosial TikTok, baru-baru ini.
“Ingat lagi masa itu tahun 2013, dekat NICU. Seorang abang ini lafazkan talak tiga terus dekat isteri dia sebab lahirkan anak Sindrom Down. Aku tengah susukan bayi waktu itu punyalah tercengang,” kata seorang saksi.
Wanita lain turut tampil berkongsi pengalaman mereka ketika menginap di hospital selepas melahirkan anak di mana segelintir suami tergamak bersikap kejam terhadap isteri.
Bukan sahaja diceraikan akibat melahirkan anak istimewa, malah ada juga isteri yang terpaksa menerima layanan dingin dan dianggap manja oleh suami ketika mengadu kesakitan.
“Masa itu bersalin anak sulung. Tak tahulah kenapa ramai lahirkan anak bibir sumbing termasuk saya. Ada seorang ibu ini belum keluar bilik bersalin, tak pasal-pasal dicerai oleh suami sebab anaknya sumbing,” kongsi wanita lain.
“Saya bersalin anak nombor dua masa itu, tekanan darah terlalu rendah sampai masuk darah tiga kali selepas bersalin. Suami cakap sakit sahaja, baik kahwin dengan orang lain. Ketika itu Allah sahaja yang tahu saya tahan sakit, hati pedih,” ujar seorang ibu.

Susulan tularnya perkongsian itu di platform TikTok, rata-rata pengguna menzahirkan rasa simpati malah beberapa individu turut berkongsi pengalaman mereka sendiri saat melahirkan anak.
Ramai juga pengguna menjadikan pendedahan tersebut sebagai iktibar agar lebih bersyukur kerana dikurniakan pasangan yang mengambil berat selain dapat menerima kelahiran anak istimewa.
Baca juga: Wanita kesal tak dapat tengok ayah buat kali terakhir, dihalang ibu mentua kerana masih berpantang