Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan seorang lelaki terlalu asyik merakam ombak hingga nyaris dibawa arus air pasang besar ketika berada di tepi Pantai Geliga, Kuala Kemaman.
Kejadian mendebarkan itu sempat dirakam oleh isterinya yang berada dalam kereta ketika insiden tersebut berlaku sebelum dimuat naik menerusi satu hantaran di platform TikTok, baru-baru ini.
Berdasarkan keterangan di dalam video berdurasi 20 saat itu, isteri terbabit memaklumkan bahawa kejadian berlaku pada 11 Januari lalu, jam 6.45 petang di kawasan pantai di belakang Klinik Kesihatan Kuala Kemaman.
Sang isteri bagaimanapun tidak menyangka ombak besar yang turut membawa kayu balak itu akan ‘menghempas’ suaminya sehingga lelaki terbabit jatuh berlutut sebelum berdiri untuk menyelamatkan diri.
Wanita itu mengakui perasaannya bercampur baur ketika kejadian berlaku namun meluahkan rasa lega apabila usia mereka masih panjang selain tidak kehilangan suaminya akibat dari insiden tersebut.
“Suamiku dilambung ombak. Alhamdulillah, panjang umur lagi. Kejadian berlaku di Pantai Geliga di belakang Klinik Kesihatan Kuala Kemaman.
“(Waktu itu) tengah syok merakam ombak. Tak sangka langsung ada ombak datang, sekali naik dengan kayu balak. Alhamdulillah semua selamat. Tetapi itulah, tak tahu nak ketawa ke apa.
“Isteri yang tengok ini sudah tak tahan gelak. Namun di dalam masa yang sama, rasa syukur sebab masih ada suami,” kata isteri terbabit dalam perkongsian video yang meraih hampir sejuta tontonan itu.
Tinjauan di ruangan komen perkongsian itu mendapati rata-rata pengguna turut berkongsi rasa lega berikutan mangsa terselamat dan tidak terkena kayu balak yang dibawa ombak tersebut.
Ramai juga pengguna tampil memberi peringatan untuk menjaga keselamatan masing-masing dengan tidak menghampiri atau berkunjung ke kawasan pantai ketika musim air pasang besar.
Difahamkan setakat ini, fenomena air pasang besar dan angin kencang yang berlaku di Kemaman, Terengganu itu telah menyebabkan kediaman lima keluarga di Kampung Geliga Baru dibadai ombak.
Kejadian itu telah memaksa penduduk yang terjejas untuk berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Balairaya Kampung Geliga Pantai bagi menyelamatkan diri.
Baca juga: Satu-satunya rumah masih berdiri lepas kebakaran besar, siapa sebenarnya pemiliknya?