Suami Zahnita Wilson didakwa ambil dadah, dibenar ikat jamin RM4,000 atas tuduhan cederakan isteri

Oleh MALAYSIADATELINE

Suami kepada bekas peragawati terkenal, Zahnita Wilson iaitu Abd Zackery Ghouse Abd. Ghani didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini atas pertuduhan mencederakan isterinya.

Tertuduh berusia 46 tahun itu turut berhadapan dengan pertuduhan menggunakan dadah di kamar mahkamah yang berasingan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah berbahaya (ADB) 1952.

Abd Zackery bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas dakwaan mencederakan isterinya selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman, lapor Kosmo.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Abd Zackery didapati dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas isteri, Zahnita Dorothy Hussein Wilson, 39, sekitar jam 8.20 pagi di sebuah rumah di Indera Mahkota, Kuantan, 7 Mei lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326 A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, B. Deevagaran manakala tertuduh yang merupakan seorang kontraktor itu diwakili peguam, Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman.

Muhamad Amirull Afiqq memohon jaminan yang rendah dikenakan ke atas tertuduh kerana perlu menyara empat cahaya mata termasuk seorang anak Orang Kelainan Upaya (OKU) serta menyara ibu dan bapa berusia 71 tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan Abd Zackery diikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 7 Januari, tahun hadapan.

Terdahulu, tertuduh turut didakwa di kamar Mahkamah Majistret bersaingan di bawah Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana didakwa menggunakan barang terlarang berkenaan.

Walau bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan dari Abd Zackery Ghouse selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati menggunakan dadah berbahaya iaitu 11-Nor-Delta-9-Tetrahydrocannabinol-9-Carboxylic Acid sekitar pukul 5.45 petang, 2 Disember lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan.

Tertuduh didakwa melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan diwajibkan pengawasan tidak kurang dua tahun dan tidak lebih satu tahun.

Pendakwaan kes tersebut pula dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Luqman Hakim Mohamad Usari manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Amirull Afiqq Mohamad Lokman.

Mahkamah kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM2,600 dengan seorang penjamin terhadap tertuduh dan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 2 Februari depan.

Baca juga: Wang tunai lebih RM45 juta ditemui, bekas pengarah JANS simpan dalam rumah, kereta dan pejabat