Subsidi tepung gandum dihapus, harga roti bakal naik

Oleh BORHAN AHMAD

Langkah kerajaan BN menghapuskan subsidi untuk tepung gandum seberat 25 kg menyebabkan harga bahan asas makanan ruji itu melonjak kepada RM42 berbanding RM33.75 sebelum ini.

Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali, berkata langkah kerajaan itu akan memberi kesan kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana yang banyak bergantung kepada makanan berasaskan tepung gandum.

“Bagi saya, ini adalah satu kesan langsung yang diterima rakyat sebagai pengguna terhadap krisis ekonomi yang melanda negara.

“Jika kita bercakap soal skandal besar yang berlaku dalam negara seperti 1MDB dan dana besar yang tak masuk akal mengalir masuk ke akaun peribadi Perdana Menteri, namun isu ini adalah lebih mudah difahami rakyat bahawa negara sedang mengalami ekonomi yang teruk.

“Rakyat yang sebelum ini gemar memakan roti canai dan kuih muih di warung-warung setempat kini akan mula merasai keperitannya,” katanya kepada Roketkini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun kerajaan mengumumkan harga petrol RON95 turun 10 sen, langkah itu tidak akan memberikan kesan terhadap harga barangan sedia ada yang melonjak naik sebelum ini.

“Biarpun harga petrol diumumkan turun beberapa hari lalu, kenaikan harga barangan tidak mudah sama sekali mengalami penurunan apabila sekali ia telah dinaikkan harga.

“Dan kini tepung pula yang menjadi bahan asas kepada masakan ditarik subsidi, pastilah rakyat bawahan yang akan menjadi mangsa utama merasai kepedihannya,” katanya.