Kerajaan Pulau Pinang belum bercadang menghalang penjualan arak di kedai runcit dan serbaneka seperti dilakukan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari, berkata beliau mengambil maklum isu kemalangan disebabkan pemandu mabuk, tetapi sudah ada undang-undang bagi kes berkenaan iaitu mengikut Seksyen 44(1) dan 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Setakat pengetahuan saya, kerajaan negeri tidak ada perancangan baharu untuk halang kedai-kedai (kedai runcit dan serbaneka yang dibenarkan) untuk menjual arak sepertimana yang dilaksanakan DBKL.
“Berhubung isu kemalangan disebabkan pemandu mabuk, sudah terdapat undang-undang sedia ada untuk kes itu,” dipetik BH.
Zairil berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Yusni Mat Piah (Pas-Penaga) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Terdahulu, Mohd Yusni membangkitkan beberapa kejadian kemalangan membabitkan pemandu mabuk di negeri itu yang ada turut menyebabkan kes kematian.
Sehubungan itu, dia mengusulkan langkah pencegahan dan kawalan penjualan arak dilakukan sama seperti dilaksanakan DBKL dan turut mendapat perhatian Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.
Sejak 1 November lalu, DBKL melarang penjualan arak di kedai runcit, serbaneka dan kedai ubat Cina, namun penjualan bir masih dibenarkan bermula jam 7 pagi hingga 9 malam sahaja sebagaimana terkandung dalam syarat baharu permohonan Lesen Minuman Keras (LMK).