Sudah RM100 juta Pulau Pinang tanggung kos selenggara rumah kos rendah, sederhana rendah

Oleh NASUHA RAHMAN

Sebagai sebuah kerajaan negeri yang peduli terhadap kebajikan rakyat, kerajaan Pulau Pinang telah membelanjakan RM100 juta bagi menanggung kos selenggara rumah kos rendah, dan sederhana rendah.

Melalui Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP) yang telah ditubuhkan sejak 2014 yang lalu pelbagai kemudahan disediakan bagi membantu rakyat Pulau Pinang.

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, TPM80PP ditubuhkan kerana kerajaan negeri prihatin nasib penduduk yang rata-ratanya terdiri dari golongan B40 membabitkan skim-skim perumahan kos rendah dan sederhana.

“Sejak 2014 sehinggalah sekarang kerajaan negeri telah pun membelanjakan sebanyak RM100 juta bagi memberi keselesaan kepada rakyat dengan kemudahan mengecat, membaiki lif, tangki, parit, bumbung dan seumpamanya.

” Kini sudah lapan tahun kemudahan seumpamanya dilaksanakan walaupun kita menyedari bahawa sumber kewangan perlu dicari bagi merealisasikan aspirasi ini.

” Ia juga membuktikan bahawa kerajaan negeri senantiasa prihatin membantu semua golongan masyarakat demi kesejahteraan hidup mereka,” jelas beliau.

Adalah difahamkan kerajaan negeri turut menyediakan pelbagai insentif kepada rakyat negeri ini melalui program warga emas, anak emas, ibu emas, penarik beca, operator bas sekolah, pemandu teksi, nelayan dan pelbagai lagi.

Baca juga: Ketua polis mati ditembak, dipenggal kartel dadah selepas beberapa jam dilantik

Baca juga: 10 negara paling malas jalan kaki, Malaysia di tangga ketiga