Suku pertama catat RM89.8 bilion, impian pekerja berkemahiran tinggi untuk gaji lebih baik semakin jadi realiti

Oleh KIM SYAZIE

Malaysia bukan sahaja terus menjadi destinasi pelaburan yang strategik, malah kejayaan menarik pelaburan bernilai RM89.8 bilion pada suku pertama 2025 turut memberi manfaat langsung kepada rakyat melalui peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan gaji yang lebih baik.

Antara Januari hingga Mac 2025, pelaburan yang diluluskan merangkumi sektor perkhidmatan (RM57.8 bilion), pembuatan (RM30.5 bilion) dan sektor utama (RM1.5 bilion), menunjukkan peningkatan 3.7% berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurut kenyataan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), sebanyak 33,300 peluang pekerjaan baharu dijangka diwujudkan hasil pelaburan ini, dengan peningkatan yang ketara dalam jenis pekerjaan berkemahiran.

“Kita berasa terdorong dengan pertumbuhan tahun-ke-tahun sebanyak 3.7% bagi pelaburan diluluskan suku pertama 2025.

“Namun yang lebih membanggakan ialah peningkatan Indeks Pengurusan, Teknikal dan Penyeliaan (MTS) daripada 44.2% pada 1Q2024 kepada 46.3% pada 1Q2025.

“Ini mencerminkan kejayaan berterusan negara dalam mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji lebih baik untuk rakyat,” katanya memetik ucapan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz

Peningkatan MTS ini menjadi petunjuk penting bahawa Malaysia bukan sahaja menarik pelaburan, tetapi berjaya memastikan rakyat menjadi penerima manfaat utama melalui pekerjaan berkualiti.

“Dengan ekonomi ASEAN yang semakin terintegrasi, satu usaha yang sedang kita giatkan sebagai Pengerusi ASEAN, kita turut merintis laluan untuk terus meletakkan Malaysia sebagai hab pembuatan dan perkhidmatan utama di rantau ini,” tambah beliau.

Baca juga: Pelajar UPSI meninggal dunia dengan al-Quran di pelukan, abang dedah arwah hafaz 30 juzuk