Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali kecewa dengan tindakan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang beralih arah menyokong Pakatan Harapan (PH) menjatuhkan kerajaan negeri.
Sulaiman yang juga ADUN Lendu berkata, tindakan terbabit memusnahkan usaha yang dilakukan secara bersama sebelum ini dalam membendung penularan wabak Covid-19 serta memulihkan ekonomi negeri.
“Sudah pasti (kecewa), dalam keadaan yang agak sukar ketika ini, masing-masing berusaha memulihkan ekonomi dan kesihatan, mereka juga lakukan kerja yang sama, akhirnya mereka runtuhkan semula.
“Kita baru beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN), tujuan kita nak bekerjasama bagi memulihkan ekonomi dan kesihatan, (tetapi) mereka sendiri yang merobeknya,” katanya.
Sementara itu, Sulaiman berkata, buat masa ini kerajaan negeri pimpinannya akan menjalankan tugas seperti biasa sehingga ke satu masa yang ditentukan kelak.
“Setakat ini kita buat kerja seperti biasa demi kepentingan rakyat,” tambahnya pada sidang media di Kampung Pulau, di Masjid Tanah hari ini.