Sultan Selangor titah berhenti tohmah sistem kehakiman, kuasa pengampunan tidak boleh dilaksana demi kepentingan pihak tertentu

Oleh SITI NUR ZAWANI MISCON

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar rakyat memberi sepenuh kepercayaan kepada sistem kehakiman negara tanpa perlu melemparkan tohmahan yang tidak berasas jika tidak mengetahui fakta dan alasan-alasan penghakiman terhadap sesuatu kes.

Baginda bertitah, sebarang tohmahan yang tidak berasas akan mengundang persepsi negatif terhadap kebebasan badan kehakiman dan pasti menghakis keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem pentadbiran keadilan negara.

Keadaan ini juga akan secara tidak langsung menjejaskan nama baik negara di peringkat antarabangsa, titah baginda dalam satu kenyataan.

Sultan Sharafuddin juga bertitah, baginda menyokong titah Yang di-Pertuan Agong pada 5 September lalu bahawa kuasa prerogatif pengampunan tidak boleh dilaksanakan sewenang-wenangnya demi kepentingan pihak tertentu.

“Rakyat perlu memahami bahawa proses pengampunan perlu dilaksanakan mengikut lunas undang-undang dan prosedur yang telah diperuntukkan di bawah Perlembagaan dan undang-undang berkaitan dengannya,” titah baginda.

Pada masa sama, baginda Sultan Sharafuddin mengingatkan rakyat bahawa hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat daripada perdana menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja sebagaimana peruntukan Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan.

Malah, perdana menteri sebelum memberikan nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong berkaitan dengan lantikan seseorang Hakim hendaklah terlebih dahulu berunding dengan Ketua Hakim Negara dan perlu mendapat pengesyoran dari Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman.

Proses lantikan seseorang hakim yang perlu melalui proses yang teliti ini menunjukkan Badan Kehakiman berbeza dengan institusi-institusi kerajaan yang lain dan menggambarkan betapa pentingnya peranan Badan Kehakiman di dalam sistem pemerintahan Negara.

“Beta menyeru rakyat agar sentiasa menghormati kedaulatan undang-undang dan kebebasan Badan Kehakiman (Judiciary) yang merupakan teras dan paksi kepada kedaulatan sistem demokrasi raja berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.

“Perlembagaan Persekutuan telah meletakkan martabat Institusi Kehakiman di satu tahap yang tinggi sebagai sebuah Badan Kehakiman yang bebas dan berwibawa.

“Badan Kehakiman merupakan benteng terakhir yang perlu dipertahankan bagi memastikan pentadbiran keadilan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” titahnya.

Baca juga: Tak ada sayur cuma letak sos je, rupa burger stadium jadi perbincangan warganet

Baca juga: Penjajah tetap penjajah, takziah saja dah cukup-Bekas penyampai berita TV3 dikritik peluk erat foto Ratu Elizabeth