Suntikan dos penggalak di Pulau Pinang bermula hari ini

Oleh ARIF ATAN

Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi dos penggalak (booster) kepada para petugas barisan hadapan peringkat negeri Pulau Pinang secara rasminya bermula hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, seramai 17,051 barisan hadapan di Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) layak menerima suntikan penggalak berkaitan dan pemberian suntikan adalah dilaksanakan di fasiliti-fasiliti kesihatan negeri itu.

“Buat masa ini, bekalan vaksin Comirnaty bagi negeri Pulau Pinang adalah mencukupi untuk pelaksanaan pemberian dos penggalak berkaitan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, beliau mengucapkan tahniah apabila kadar vaksinasi dos pertama bagi populasi dewasa di negeri itu telah mencapai 100.8 peratus manakala lengkap kedua-dua dos sebanyak 96.3 peratus.

Angka itu, jelasnya, berdasarkan laporan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) sehingga tengah malam tadi.

Sementara itu, bagi PICK-Remaja, katanya, sehingga tempoh masa sama, pencapaian bagi dos pertama adalah sebanyak 87.3 peratus dan lengkap kedua-dua dos suntikan sebanyak 17 peratus.

“Kepelbagaian usaha masih giat dijalankan dan kepada mereka yang layak dan masih belum menerima sebarang suntikan sila segera walk-in ke Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebelum 30 Oktober 2021,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bagi laporan kes harian sehingga 12 tengah hari tadi, jumlah dilaporkan merupakan yang terendah sejak lima minggu lalu.

“Malah, secara keseluruhan, trend kini menunjukkan penurunan. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri bersama-sama JKNPP memandang serius dan memberi perhatian khusus terhadap perkembangan enam kluster membabitkan pusat jagaan warga emas kini,” tambahnya lagi.