Surat terbuka Tun Dr Mahathir Mohamad belum cukup kuat untuk mendesak ahli akar umbi dan pemimpin parti dalam Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2015 menolak kepimpinan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata veteran parti itu.
Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak), Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, cadangan Tun Mahathir untuk menolak Najib dalam perhimpunan itu tidak akan berlaku.
Sebaliknya hanya ahli Umno di peringkat cawangan, bahagian dan Majlis Tertinggi (MT) sahaja yang boleh membuat keputusan untuk menukar kepimpinan Umno sedia ada.
“Najib telah dipilih majoriti ahli di peringkat akar umbi sebagai presiden parti dan menjadi perdana menteri kerana Umno-BN menang majoriti dalam pilihanraya yang diadakan.
“Jika ahli akar umbi hingga ke MT tidak sependapat dengan apa yang Tun Mahathir luahkan dalam surat terbukanya itu (menolak kepimpinan Najib) ia tidak akan mengugat kedudukan Najib sehingga PRU14,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.
Dalam blognya chedet.cc Tun Mahathir juga berpendapat besar kemungkinan parti akan kalah dalam pilihan raya seperti kehilangan Selangor dan Pulau Pinang dalam PRU13 lalu.
Namun katanya, Umno-BN juga pernah menjadi pembangkang di era Tun Mahathir menjadi perdana menteri.
Parti tertua orang Melayu ini dan parti komponennya BN pernah menjadi pembangkang di negeri Kelantan (enam penggal), Terenganu (PRU11-2004) dan Kedah pada (PRU12-2008) sebelum merampas semula Kedah dan Terengganu pada PRU13 pada 2012 lalu.
“Malaysia bukan negara republik sebaliknya sebuah negara demokrasi berparlimen. Mana-mana parti yang bertanding dan menang majoriti maka parti yang menang itu akan memimpin negara.
“PAU sudah kali yang ke 59 diadakan. Ini bermakna parti dan pemimpin sedia ada sudah matang untuk menilai dengan pelbagai tuduhan terhadap pemimpin.
“Benar kata Tun, kita perlu sayang parti seperti sayangkan seorang pemimpin. Ini simbiotik.
“Umno dan presiden ibarat ‘satu badan’. Jika kita cantas presiden bermakna kita cantas organisasi parti yang menentukan ‘hidup matinya’ sebuah parti. Adakah ini cara baru Umno?
“Saya fikir tradisi Umno bukan begitu caranya,” kata beliau menolak pandangan bekas perdana menteri itu.
Bagi beliau, sehingga kini masih belum ada mana-mana perwakilan bahagian menyatakan ketidakpercayaan kepada kepimpinan Najib dalam suara majoriti.
“Kalau ada pun berbuat demikian, seperti tindakan yang dikenakan ke atas Tan Sri Muhyiddin masih lagi bukan mewakili suara majoriti.
“Apa yang saya boleh anggap ia timbul sebagai perbezaan pendapat di kalangan ahli dan pemimpin terhadap presiden,” terangnya.
Namun beliau tidak menafikan seorang pemimpin itu boleh ditolak melalui dua saluran iaitu saluran parti dan parlimen.
“Betul, hanya ada dua saluran untuk menolak seorang pemimpin iaitu dalam perhimpunan sesebuah parti seperti PAU ini dan di Parlimen.
“Usaha dikalangan Ahli Parlimen pembangkang membawa usul undi tidak percaya terhadap kepimpinan Najib di Parlimen juga telah gagal untuk mendapat suara majoriti ahli parlimen,” ujarnya.
Justeru Aziz berkata, beliau tidak melihat PAU yang akan berlangsung selama empat hari dari 8 hingga 12 Disember nanti, perwakilan akan dapat membawa usul menolak kepimpinan Najib sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri.
“Tun salah seorang tokoh negarawan yang mengunakan media sosial seperti blognya untuk mencurahkan pelbagai pemikiran yang mencetuskan pelbagai persepsi berbeza setelah beliau disekat daripada diberi peluang bercakap secara terbuka kepada ahli akar umbi.
“Intipati dalam surat terbuka itu juga akan mencorak pemikiran orang yang membacanya untuk mempengaruhi pemikiran ahli akar umbi dan pemimpin parti.
“Ini kerana penyebaran maklumat belum tentu kesahihannya melainkan dibuktikan dengan perundingan bersama atau dibawa ke mahkamah untuk dibuktikan segala pertuduhan yang dilemparkan kepada seorang pemimpin parti,” ujarnya.