Suruh budak ‘kiss’ lepas balik sekolah, Caprice dedah lagi kes libatkan kanak-kanak bawah umur

Oleh WAN SITI AMINAH

Penyanyi rap, Caprice sekali lagi membuat pendedahan mengenai perbuatan tidak senonoh melibatkan seorang lelaki dewasa terhadap murid sekolah perempuan yang masih berada di bawah umur.

Menerusi hantaran dimuat naik di platform Instagram itu, Caprice berkongsi satu rakaman memaparkan pengakuan daripada mangsa sendiri berhubung gangguan yang dialaminya ketika kejadian.

Difahamkan, pelaku adalah pemandu kereta yang diupah untuk mengambil kanak-kanak dari sekolah mereka dan perbuatan dipercayai dilakukan ketika mangsa berada di dalam kereta bersendirian.

Rakaman tersebut dipercayai dihantar oleh ibu mangsa kepada Caprice menerusi pesanan secara terus (DM) di akaun media sosial dengan harapan kes itu memperoleh perhatian dan pelaku dikenakan tindakan.

“Apabila nak balik (dari sekolah), pak cik selalu cakap kena ‘kiss’ (cium) dia di dalam kereta dahulu. Cium dekat pipi. Boleh lima atau enam kali. Pak cik kiss saya. Saya kiss dia juga. Tetapi dia bukan datuk saya.

“Tiada sesiapa (dalam kereta waktu kejadian). Kena masuk kereta dahulu (sebelum cium), sebab pak cik cakap malu,” kata kanak-kanak perempuan terbabit ketika menjawab soalan ibunya mengenai kejadian.

Dalam pesanan dihantar menerusi DM itu, sang ibu turut memaklumkan bahawa laporan polis mengenai kejadian telah dibuat namun tindakan belum diambil malah kes juga diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Anak perempuan saya kena cium dengan pemandu yang ditugaskan untuk menghantarnya. Saya sudah membuat laporan polis. Malah, anak perempuan saya juga terpaksa melalui begitu banyak proses.

“Katanya proses dilakukan sebagai sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) tetapi keputusannya malah NFA,” kesal ibu terbabit di dalam pesanan DM tersebut.

Dalam pada itu, Caprice menerusi ruangan kapsyen turut memaklumkan bahawa rakaman berkenaan dikongsikan dengan tujuan untuk mencari mangsa lain berkaitan kes tersebut supaya boleh diketengahkan.

Caprice turut menyampaikan pesanan kepada ibu bapa untuk menjalankan peranan masing-masing terutamanya bersikap lebih prihatin terhadap anak-anak dan tidak lupa untuk memantau aktiviti mereka.

Baca juga: ‘Carum sikit-sikit, hutang tak jalan’ – Bekas pekerja tuntut keadilan, caruman dari tadika swasta terkenal