Rumah agam pemimpin demokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi, dilelong pada Rabu dengan harga minimum AS$150 juta (RM705.82 juta).
Bagaimanapun lapor AFP, ia tidak menarik sebarang bidaan.
Rumah dua tingkat dan tanah seluas 0.8 hektar itu dijual berikutan pertikaian selama berdekad-dekad mengenai harta antara Suu Kyi yang ditahan sejak rampasan kuasa tentera pada 2021, dan abangnya.
Menjelang lelongan, AFP melaporkan terdapat sekumpulan kecil kebanyakannya wartawan berkumpul di luar rumah era kolonial di University Avenue itu, tidak jauh dari Kedutaan Amerika Syarikat.
Pegawai keluar dari pintu pagar dan mengumumkan pembukaan lelongan dengan menekan loceng kecil tiga kali.
Di atas pintu pagar, ada potret bapa Suu Kyi, wira kemerdekaan Aung San, manakala ada notis mengiklankan harga sebagai AS$150 juta berdasarkan kadar pertukaran rasmi.

Jurulelong itu, memakai longyi iaitu pakaian seperti sarung mengangkat tangannya untuk tawaran, tetapi ia tidak menarik minat pembida.
“Tiada sesiapa untuk membida,” dia mengumumkan sebelum membunyikan loceng bagi menutup lelongan.
Pegawai keselamatan berpakaian preman mengambil gambar wartawan yang membuat liputan.
Selama kira-kira 15 tahun, Suu Kyi dikurung di rumah itu selepas dia menjadi terkenal semasa demonstrasi besar menentang junta pada 1988.
Terputus hubungan dengan suami dan anak-anaknya di England, Suu Kyi menghabiskan masanya dengan bermain piano, membaca novel detektif dan bermeditasi ketika statusnya sebagai pemimpin demokrasi semakin meningkat.
Ratusan orang berkumpul di atas kaki lima di luar hartanah itu untuk mendengar ceramahnya mengenai demokrasi dan memerangi pemerintahan tentera.
Selepas dibebaskan pada 2010, dia tinggal di vila itu dan ia menjadi tempat dia menerima kehadiran beberapa pemimpin asing, wartawan dan diplomat.
Pada 2012, Presiden AS ketika itu, Barack Obama melawatnya di vila berkenaan.
Suu Kyi meninggalkan Yangon pada 2012 sebelum berpindah ke ibu kota yang dibina tentera Naypyidaw.
Dia ditahan di sana pada awal pagi 1 Februari 2021 apabila tentera merampas kuasa sekali lagi sekali gus menjerumuskan negara Asia Tenggara ke dalam pergolakan berdarah.
Baca juga: Ini 4 peristiwa penting berlaku dalam bulan Ramadan yang anda patut tahu