Syamsul datang ke Indonesia sebab Toga yang jemput, peminat pun dah menanti

Oleh KIM SYAZIE

Pengarah filem Mat Kilau, Syamsul Yusof memberitahu bahawa dia bersetuju terbang ke Indonesia untuk menghadiri malam gala disebabkan pelawaan dari aktornya sendiri iaitu Yayan Ruhian yang memegang watak Toga.

Beliau memberitahu, aktor lasak itu sudah banyak kali datang ke Malaysia bagi mempromosi filem berkenaan.

Justeru kali ini, tiba gilirannya untuk membalas jasa dan menyertai malam gala di Jakarta disebabkan peminat di sana pun mahu bertemu dengannya.

“Saya hargai usaha dan kesungguhan abang Yayan yang beberapa kali datang ke Malaysia untuk mempromosikan filem Mat Kilau.

“Jadi, kini, tiba giliran saya untuk membalas kebaikannya. Abang Yayan menghantar mesej memberitahu peminat di Indonesia menanti kehadiran saya.

“Kunjungan saya ke Jakarta jelas disebabkan Abang Yayan dan peminat di sana,” katanya memetik Berita Harian.

Sementara itu, ditanya mengenai kemelut antara Studio Kembara Sdn Bhd dengan pelakon utama, Adi Putra, Syamsul enggan campur tangan

Bagaimanapun dia memberitahu ada kejutan besar menanti pada acara malam gala itu nanti.

Sementara itu, Syamsul teruja filem Mat Kilau akan ditayangkan di 200 pawagam di Indonesia mulai 31 Ogos ini.