Pengarah sensasi, Syamsul Yusof akhirnya pulang ke pangkuan keluarga dan bersua muka dengan ibu bapa tersayang, Datuk Yusof Haslam dan Datin Patimah Ismail.
Datuk Yusof yang merupakan pengarah dan penerbit terkenal itu mengakui langsung tidak menyangka anaknya akan membuka pintu hati dan kembali kepada pangkuan keluarga, kelmarin.
Tidak pernah menyimpan dendam ataupun enggan memaafkan kesilapan Syamsul, bapa berusia 70 tahun itu bersyukur doanya dan isteri termakbul selepas bertahun-tahun tidak berjumpa.
Malah pertemuan mengharukan itu difahamkan berlaku selepas Syamsul mengambil inisiatif menghubungi ibunya sendiri dan mengatakan hasrat untuk berjumpa, lapor Harian Metro.
“Kami tak pernah membenci darah daging sendiri, sebaliknya hanya menitipkan doa setiap kali dalam solat. Doa kami untuk Sol (Syamsul) akhirnya termakbul walaupun ambil masa bertahun.
“Dia sendiri yang hubungi ibunya pada Isnin lalu dan menyatakan hasrat untuk berjumpa kami selepas lama terputus hubungan. Dia mendakap kami dalam wajah yang ceria dan menikmati makan malam bersama-sama,” katanya memetik laporan Harian Metro.
Pengasas syarikat penerbitan iaitu Skop Production itu turut mendedahkan bahawa pertemuan bersama Syamsul cukup meninggalkan kesan emosi kepada dirinya dan isteri, Datin Patimah Ismail.
Tidak mengungkit perkara yang sudah berlaku dalam pertemuan itu, Yusof berharap hubungan erat bersama anak lelakinya akan terus berkekalan sehingga ke akhir hayat.
“Sudah semestinya kami mengalirkan air mata selepas bertahun menanti untuk berjumpa dengannya. Pada pertemuan itu, kami tak bicara hal-hal yang lepas. Cuma berborak santai. Semoga ikatan ini kekal hingga ke akhir hayat kami,” kongsinya.
Terdahulu, Datin Patimah memuat naik gambar memaparkan detik manis kepulangan anaknya menerusi satu hantaran tular di Instagram Story miliknya pada malam Rabu.
Syamsul yang memakai jaket hitam dan seluar sukan itu dilihat memeluk erat kedua-dua ibu bapanya di dalam gambar berlatarbelakangkan lagu Syukran Lillah nyanyian Sabyan di mana liriknya mengungkapkan rasa syukur.
Pertemuan tersebut turut disertai oleh bekas isteri Syamsul iaitu pelakon Puteri Sarah Liyana berdasarkan gambar lain dikongsi Patimah dan mereka kelihatan ceria sambil tersenyum.
Baca juga: Dulu bertubuh gempal, kini jadi pempengaruh selepas berjaya tampil imej langsing bak model