Syed Husin sindir kenyataan dibuat Takiyuddin ekoran ‘silap lapor’ media

Oleh MALAYSIADATELINE

Hari ini bekas Senator Dr. Syed Husin Ali di laman twitternya respon kepada kenyataan salah lapor beberapa portal media, mengenai kenyataan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan ketika beliau dikerumuni wartawan selepas menghadiri majlis Perasmian Persidangan Tahunan Perkasa kali ke6 semalam.

Syed Hussin di dalam twitternya menyebut “Setiusaha Agung Pas itu sedia maafkan segala dosa Umno. Hebat!Boleh lupakan GST, 1MDB, RM2.6biion Akta Majlis Keselamatn dan lain-lain lagi.”

Takiyuddin dipetik sebagai berkata, beliau tidak “mendengar atau menjawab” soalan berbunyi atau membawa maksud “adakah PAS memaafkan Umno ” pada sidang media selepas menghadiri program Perkasa di Kuala Lumpur semalam.

Ahli Parlimen Kota Baru itu menyalahkan portal The Malaysian Insider dan mengatakan kenyataannya diputar belit. Selain The Malaysian Insider, portal berita lain seperti Sinar Harian Online, The Malay Mail Online, Malaysiakini dan Mstar Online turut melaporkan perkara sama.

“Sepanjang ditemubual, saya tidak pernah mendengar atau menjawab soalan berbunyi atau membawa maksud ‘adakah PAS memaafkan Umno…’

“Oleh sebab itu, saya menganggap soalan seumpama itu tidak ada. Justeru, apa-apa ‘jawapan’ kepadanya juga tidak ada, atau datang daripada saya atau apa-apa yang dimaksudkan oleh saya,” katanya dalam satu kenyataan awal pagi ini yang dipetik dari portal berita pro pembangkang itu.

Setiausaha Agung PASDatuk Takiyuddin Hassan ketika diasak media untuk mendapatkan responnya mengenai kerjasama PAS-Umno semalam.

Menurut Takiyuddin, sidang akhbar diadakan di sebuah dewan dalam suasana bising selepas beliau menghadiri majlis perasmian Perhimpunan Agung Tahunan Perkasa semalam.

Katanya, kenyataan sikap terbuka dan murah hati PAS terhadap orang lain apabila mereka memeluk parti dan perjuangan untuk menegakkan Islam, dan ia bukan bermakna “PAS mahu menyertai Umno”.

“Apabila ditanya kepada saya apakah langkah yang diambil oleh PAS terhadap isu yang dibangkitkan, iaitu kononnya ‘PAS akan bekerjasama dengan Umno’, saya menyatakan bahawa PAS akan memberikan penerangan ahli PAS tentang kekeliruan, salah faham yang timbul dan juga menangkis tohmahan terhadap PAS dalam isu ini.

“Ia bukan bermaksud PAS akan memberi penjelasan seolah-olah ‘kerjasama dengan Umno akan dilaksanakan,’”katanya.