Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan meneliti cadangan membenarkan mahasiswa memohon sebagai pengundi pos pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Ini berikutan kebimbangan peningkatan penularan Covid-19 varian Omicron, mengakibatkan mahasiswa mungkin tidak dibenarkan pulang bagi mengelakkan jangkitan di kampus selepas hari pengundian.
Menurut Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, SPR perlu mengenal pasti beberapa aspek terlebih dahulu termasuk jumlah mahasiswa terlibat.
Jelasnya, SPR akan bermesyuarat pada 9 Februari ini bagi melihat secara terperinci cadangan tersebut.
“Keputusan mengenai undi pos kena diteliti secara mendalam kerana tidak semudah seperti kita jangka.
“Bagi pengundi pos, sebenarnya kita sudah khususkan termasuk kepada rakyat Johor yang kini bekerja di Singapura.
“Bagi golongan lain, SPR kena bermesyuarat dahulu,” katanya, semalam.
LANJUT MENYUSUL