Penyanyi, Syura Badron meluahkan rasa terharu apabila melihat sikap suami tersayang yang tetap menunaikan tanggungjawab mencari rezeki walau kini berada dalam kesakitan kerana melecur teruk akibat letupan tong gas, Jumaat lalu.
Mana tidaknya, suaminya yang dikenali sebagai Farizat itu tetap sibuk menguruskan perniagaan makanan mereka meskipun lelaki itu masih menerima rawatan di hospital ekoran melecur teruk di bahagian muka, kaki dan tangan.
Luahan itu dikongsikan oleh Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron menerusi satu hantaran yang dimuat naik oleh penyanyi berkenaan melalui akaun Instagram miliknya pada Jumaat.
“Beruntungnya saya sebagai isteri. Walaupun suami saya tengah dalam kesakitan, dia tak pernah berhenti berfikir untuk cari rezeki buat keluarga kami. Tak pernah terlepas tanya tentang pekerja dia yang sedang betugas di festival makanan di Manjung.
“Hari-hari dia (suami) bertanya tentang jualan, pekerja dan stok makanan,” tulis penyanyi yang berusia 38 tahun itu menerusi satu hantaran di Instagram Story.
Dalam hantaran yang sama, Syura berharap suaminya itu tidak terlalu memikirkan pekerjaan sebaliknya percaya kepada rezeki diaturkan Allah dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pekerja mereka.
Hal ini kerana Syura yang pernah bergelar juara di dalam program realiti memasak, Masterchef Selebriti Malaysia musim kedua itu mahu suaminya mendapatkan rehat secukupnya dan fokus menjalani rawatan sehingga pulih agar mereka dapat meniaga bersama semula.
Terdahulu, Syura pada Isnin lalu memaklumkan bahawa Farizat dimasukkan ke hospital berikutan melecur teruk pada muka, kaki dan tangan akibat letupan gas memasak di sebuah tempat penginapan di Perlis, malam Jumaat minggu lepas.
Penyanyi terbabit turut memuat naik satu rakaman video memaparkan keadaan tempat penginapannya susulan kejadian letupan tong gas yang kelihatan teruk apabila dinding dan tingkap rumah itu pecah.
Sekadar info, Syura sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama bekas suaminya iaitu Mohd Fadhly Md Yassin pada 16 April 2006 namun pasangan itu berpisah pada Ogos 2015.
Hasil perkongsian hidup bersama, mereka berdua telah dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nurul Dania Irdani, 17, Nurul Qaisara Sofia, 15, dan Muhammad Irfan Aryan yang kini berusia 13 tahun.
Syura kemudian dipertemukan jodoh dengan Farizat pada 22 Januari 2022 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki bernama Muhammad Umar Eussof yang kini berusia setahun.
Baca juga: Tak mahu ‘terjun’ bidang politik, Alif Satar mahu sumbang kepada masyarakat dengan cara berbeza