RM15.2 juta tabungan kebajikan mahasiswa tidak mungkinkan mereka berlapar, kata Idris

Oleh MALAYSIADATELINE

Tabung Kebajikan Mahasiswa berjumlah RM15.2 juta yang diperoleh daripada Program Kebajikan Mahasiswa di semua universiti awam negara ini tidak memungkinkan mahasiswa terpaksa berlapar, kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusuh.

Sejak Januari hingga Disember 2015 melalui Program Kebajikan Mahasiswa jumlah bantuan yang disalurkan daripada tabung itu hanya berjumlah RM5,228,353.50 membabitkan bantuan kepada 31,776 mahasiswa.

Manakala seramai 6,813 mahasiswa diberi peluang bekerja di kampus bagi menampung keperluan kewangan mereka.

Idris berkata, isu mahasiswa tiada duit untuk membeli makanan hingga terpaksa berlapar tidak pernah timbul di universiti awam  seperti digembar-gemburkan sebuah NGO dan media massa sejak beberapa hari lalu.

“Tidak ada sebab mereka berlapar. Seramai 31,776 mahasiswa menerima bantuan kebajikan termasuk bantuan kewangan pelajar miskin, khairat, bayaran yuran pengajian, yuran hospital dan perubatan serta bantuan kewangan bagi ahli keluarga yang meninggal dunia.

“Selain kakitangan universiti pula turut menyumbang gaji mereka untuk kebajikan mahasiswa melalui potongan gaji atau derma kebajikan.

“Malah program amal seperti makanan percuma, ‘suspended meals’ dan lain-lain dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar, Kolej Kediaman dan Persatuan Pelajar turut disediakan di universiti,” ujarnya dalam sidang media tergempar diadakan di Putrajaya petang tadi.

Pelbagai program kebajikan siswa  diletakkan di bawah Kebajikan Perlindungan dan Kebajikan Produktif untuk menyalurkan bantuan kepada mahasiswa yang bermasalah.Susulan daripada kenyataan beliau pada Sabtu lalu, mahu membantu mahasiswa yang kelaparan, beliau telahpun mengadakan perjumpaan bersama beberapa Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEA) di universiti awam untuk membincangkan isu ini.

“Saya pun dulu berlapar, biasalah berlapar masa belajar di Amerika Syarikat dulu.

“Saya pun pernah bekerja di stesen minyak, domino pizza sebagai ‘delivery boy’ dan jadi jockey di sebuah Country Club.

“Saya terpaksa kerja untuk dapatkan duit tambahan untuk biayai kehidupan dan keluarga. Sememangnya bekerja sambil belajar merupakan cabaran. Namun dengan pengurusan masa yang baik ia menjadi satu pengalaman yang berharga,” cerita beliau.

Justeru Idris berkata, beliau telah berbincang dengan pihak universiti awam, untuk memahami isu sebenar mahasiswa berlapar ini.

“ Sampai ke tahap itu kami bincang. Isu pelajar kelaparan di universiti telah dijelaskan oleh TNC HEA dalam hal ini universiti sudah lama prihatin kepada mahasiswa apa yang dikatakan itu tidak berlaku.

“Saya ada terima email dan whatapps bila di semak hanya dapat dua kes, tetapi bukan masalah pelajar sebaliknya mereka dibebani masalah keluarga.

“ Ada yang dapat biasiswa kerajaan dan dapat duit PTPTN yang jadi masalah duit biasiswa itu nak dikongsi bersama keluarga,” ujarnya.

Justeru beliau menegaskan mahasiswa perlu tampil menceritakan masalah yang dihadapi mereka.

“Saya nak menyeru mahasiswa yang menghadapi kekangan kewangan untuk tampil berjumpa TNC HEA di universiti masing-masing supaya memudahkan kami menyampaikan bantuan.

“Saya yakin universiti awam dan warga pendidikan tinggi berusaha untuk membantu segelintir golongan mahasiswa ini.

“Janganlah mana-mana pihak mensensasikan isu ini sehingga menimbulkan persepsi negatif dikalangan rakyat terhadap kementerian,” ujarnya.

Turut hadir dalam sidang media itu empat Timbalan Naib Canselor HEPA, antaranya Prof. Datuk Dr. Rohana Yusof dari Universiti Malaya (UM); Prof Dr Mohamed Fadzil Che Din dari Universiti Pertahanan Nasional (UPEN); Prof Datuk Dr Mohamad Shatar Sabran Universiti Putra Malaysia dan; Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).