Sanggup berhabis ratusan hingga ribuan ringgit, peminat durian pasti sedang berlumba-lumba mendapatkan bekalan raja buah itu.
Hanya boleh dinikmati dalam waktu yang terhad, seorang wanita mengambil pendekatan untuk berkongsi cara yang betul menyimpan durian.
Dijamin tahan selama setahun, mereka yang mengikut kaedah ini boleh menikmati durian pada bila-bila masa sahaja tanpa mengira musim.
1. Sediakan plastik pembungkus jenis melekat (cling wrap) dan bekas makanan jenis plastik.
2. Belah durian dan ambil satu pangsa isinya lalu bungkus atau balut dengan kemas menggunakan plastik pembungkus.
3. Letak isi durian yang telah dibalut dalam bekas makanan dan tutup dengan kemas.
4. Simpan di dalam peti sejuk beku (freezer atau chiller).
Kaedah berkesan ini dikongsikan oleh Nor Tipah Zakaria menerusi satu hantaran di ‘group’ dalam laman Facebook.
Menurut Tipah, tujuan buah tersebut dibalut adalah untuk menjaga kualiti isinya dari segi rasa dan juga teksturnya.
Mampu bertahan dalam tempoh satu tahun, buah ini boleh terus sahaja dikeluarkan dari peti sejuk atau peti beku sekiranya ingin dinikmati.
Namun begitu, isi durian dalam bungkusan plastik ini perlu dinyahbeku terlebih dahulu sebelum boleh dimakan.