Parti Amanah Negara (AMANAH) mengalu-alukan penyertaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah bersama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti yang diumumkan semalam.
Presiden Mohamad Sabu (Gambar atas) berkata, penyertaan Amiruddin adalah satu lonjakan baharu bukan sahaja kepada Bersatu tetapi juga rakan-rakan parti dalam Pakatan Harapan.
“Ini satu lonjakan baharu khususnya di negeri Kedah dalam usaha memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang dijangka akan diadakan bila-bila masa.
“Dengan pengalaman dan ketokohan yang ada kepada beliau, sudah tentu beliau akan berperanan menarik seramai mungkin rakyat di negeri Kedah untuk bersama perjuangan menegakkan keadilan dan mewujudkan sebuah kerajaan dengan tadbir urus yang baik.
“AMANAH menghormati pilihan yang telah dibuat beliau. Selamat berjuang dan selamat maju jaya bersama PPBM,” ujar kenyataan hari ini.
Semalam Amiruddin yang juga ketua pembangkang Dun Kedah mengumumkan keluar Pas dan menyertai Bersatu pada sidang media yang disiarkan secara langsung melalui Facebook.
Amiruddin berkata, keputusannya menjadi ahli Bersatu kerana menganggap Pas melakukan pendekatan tidak bijak jika menolak untuk bersama gabungan pembangkang.
Turut hadir adalah Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu Negeri Kedah, selain pimpinan negeri.
