Taikun tekstil didakwa subahat cederakan bekas hakim, isu harta pusaka jadi punca?

Oleh WAN SITI AMINAH

Gara-gara terbabit dalam pertelingkahan keluarga mengenai harta pusaka, seorang taikun perniagaan tekstil dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, hari ini.

Pemilik gedung tekstil terkemuka, Gulatis Silk House iaitu Pavitar Singh Manjeet Singh itu dituduh bersubahat menyebabkan kecederaan parah kepada bekas hakim, bulan lalu. 

Walau bagaimanapun, tertuduh yang berusia 54 tahun itu mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan tersebut dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Siti Aminah Ghazali.

Mengikut pertuduhan, dua lelaki menyebabkan cedera parah ke atas Datuk Jagjit Singh Bant Singh dan seorang rakan sekerjanya dengan menggunakan pemutar skru.

Difahamkan, isteri kepada Datuk Jagjit yang merupakan seorang bekas hakim berusia 67 tahun itu bertelingkah dengan abangnya, Pavitar Singh mengenai harta pusaka.

Pavitar Singh kemudian didakwa bersubahat mencederakan abang ipar dan seorang lagi mangsa di Solaris Dutamas, di sini, jam 12.50 tengah hari, pada 19 Oktober lalu.

Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 326 KK yang membawa kepada hukuman penjara hingga 20 tahun dan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Susulan membuat pengakuan tidak bersalah, Timbalan Pendakwa Raya, Noorhani Muhmmed Ayub, mencadangkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin terhadap taikun tekstil itu.

Peguam bela yang mewakili Pavitar, Jeremy Vinesh Anthony memohon jaminan lebih rendah kerana tertuduh perlu menanggung isteri dan seorang anak, lapor Berita Harian.

“Anak guam juga adalah Pengerusi Gurdwara Sahib Titiwangsa dan mempunyai hubungan rapat dengan komuniti, selain tiada risiko untuk melarikan diri.

“Tertuduh memberi kerjasama selama empat hari ditahan dan ini kali pertama dia didakwa di mahkamah,” kata peguam bela tersebut memetik laporan Berita Harian.

Hakim kemudian membenarkan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 5 Disember ini untuk sebutan semula kes.

Terdahulu, media tempatan melaporkan seorang taikun tekstil ditahan oleh pihak polis selepas pertelingkahan berlaku antara ahli keluarga membabitkan harta pusaka.

Ahli perniagaan berkenaan dikatakan menjadi dalang utama di sebalik serangan ke atas dua peguam tersebut di pejabat mereka di Publika pada bulan Oktober lalu.

Peguam terbabit diserang dua individu tidak dikenali yang memasuki pejabat mereka atas alasan untuk mendapatkan khidmat guaman.

Kedua penyerang itu bagaimanapun sudah didakwa pada 25 Oktober lalu di mana mereka mengaku bersalah di hadapan Hakim, Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.

Mereka masing-masing dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan sebatan.

Baca juga: Warga emas jadi jutawan segera, menang saman RM1.15 juta lepas tanah diceroboh DBKL