Taja inap desa untuk dapatkan projek, SPRM reman penjawat awam dan pengarah syarikat 5 hari

Oleh MALAYSIADATELINE

Walaupun nampak isu kecil, dan sekadar mengeluarkan beberapa ribu ringgit sahaja, rasuah tetap rasuah meskipun ia tidak melibatkan duit.

Disebabkan itu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang pengarah syarikat dan seorang penjawat awam sebuah agensi kerajaan negeri selama lima hari.

Ini adalah bagi membantu siasatan berhubung tajaan inap desa di Tanjong Tokong, tahun lalu Lapor Kosmo! Online.

Perintah reman tersebut dikeluarkan Majistret Mohamad Azlan Basri di Mahkamah Majistret Jenayah Georgetown hari ini.

Pengarah syarikat berusia 37 tahun dan penjawat awam berjawatan pengarah landskap berusia 42 tahun itu tiba ke Kompleks Mahkamah Pulau Pinang pagi tadi.

Menurut sumber, kedua-dua mereka ditahan kira-kira pukul 2 petang semalam ketika memberi keterangan di pejabat SPRM Pulau Pinang.

“Pengarah landskap agensi kerajaan itu disyaki menerima wang rasuah dalam bentuk tajaan inap desa dan buffet bbq daripada pengarah syarikat tersebut yang bernilai RM2,000 pada 2024.

“Tajaan inap desa itu bertujuan bagi membolehkan pengarah syarikat mendapatkan projek-projek landskap di agensi kerajaan tersebut,” katanya seperti dipetik Kosmo! Online.

Sumber berkata, kedua-dua mereka ditahan mengikut Seksyen 16 (a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Baca juga: Amerika Syarikat mahu ambil alih Gaza, pindahkan rakyat Palestin ke negara lain secara kekal