Tajaan pengajian percuma bakal ubah nasib keluarga miskin

Oleh MALAYSIADATELINE

Penajaan pengajian percuma kepada pelajar generasi pertama keluarga miskin yang berjaya memasuki universiti seperti dicadangkan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilihat mampu mengubah nasib golongan berkenaan. 

Pensyarah Kanan Pusat Kajian Kepelbagaian Pendidikan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Anuar Ahmad berkata keberhasilan program seperti itu boleh dilihat pada tahun 70-an apabila kerajaan berjaya membantu golongan itu melalui beberapa program seperti asrama, biasiswa dan pinjaman.

“Pada tahun 70-an program-program sebegini mampu membuka peluang yang luas kepada anak-anak golongan ini. Ramai daripada mereka (yang telah dibantu) cemerlang dalam pendidikan dan telah mengubah nasib mereka dengan menjadi kumpulan profesional mempunyai pendapatan yang lebih baik.

“Dasar ini sekiranya berjaya dibentang dan dilaksanakan sudah pasti memberi impak yang besar bukan sahaja kepada golongan tersebut malah kepada negara juga dalam merapatkan jurang kemiskinan di negara ini,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mengulas lanjut, beliau berkata dalam melaksanakan dasar ini, kerajaan perlu memastikan definisi golongan miskin mana yang perlu ditaja kerana terdapat bermacam-macam bentuk dan kategori kemiskinan di negara ini.

“Perlu penelitian daripada KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi) kerana kita tidak mahu pelaksanaan dasar ini kelak akan membuka ruang kritikan kepada penganjuran program ini.

Baca Artikel Penuh