Tak fikir soal jodoh, Puteri Sarah nak fokus pada 2 anak dan perniagaan sahaja

Oleh MAISARAH AISYA

Bukan senang buat keputusan untuk bercerai apatah lagi jika anak-anak masih kecil namun itu bukan halangan untuk bahagia.

Buat pelakon Puteri Sarah Liyana dia sebolehnya mahu menumpukan perhatian kepada dua anaknya.

Menurut Harian Metro, Sarah tidak memikirkan soal jodoh dan mahu beri fokus kepada perniagaan tudung dan penjagaan kulit yang diusahakannya.

“Saya belum fikir soal cari jodoh. Sekarang, saya mahu fokus kepada anak-anak dan perniagaan yang sedang berkembang dengan baik.

“Saya mahu menikmati kehidupan solo ini sepuas-puasnya. Ada banyak impian yang ingin saya tunaikan sebelum fikir soal jodoh.

“Kalau ada rezeki untuk berkahwin lagi, saya tidak menolak, tapi buat masa sekarang saya belum terfikir ke arah itu,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Tak halang anak beraya dengan bekas suami

Pada masa sama, Sarah juga tidak akan memutuskan hubungan anak-anaknya dengan bapa kandung atau keluarga bekas mentuanya.

“Saya tidak mahu bermusuh dan berdendam dengan sesiapa. Alhamdulillah sekarang ini hidup saya sangat tenang dan Allah menjawab segala doa saya.

“Saya akan membawa anak-anak beraya di rumah bekas mentua kerana hubungan mereka sangat rapat. Malah sehingga hari ini kami masih berhubung dan selalu berjumpa.

“Anak-anak pun tiada masalah beraya dengan bapanya. Saya memberi sepenuh kerjasama dan tidak akan menolak,” tambahnya.

Belajar memaafkan

Dalam pada itu, Sarah mengakui bukan senang untuk memaafkan namun tiada guna menyimpan dendam terhadap individu yang sudah menyakitkan hatinya.

“Sekarang ini saya nak hidup dengan tenang dan bahagia. Saya sudah maafkan siapa saja yang pernah menyakiti hati saya selama ini dan begitu juga harapan saya sekiranya ada mengguris hati mana-mana pihak.

“Saya berharap tahun ini memberi peluang kepada saya menjadi manusia lebih baik. Saya sedar beberapa tahun kebelakangan ini hidup saya macam ‘roller – coaster’, tapi saya enggan mengenang semula kisah lalu.

“Fokus saya sekarang adalah untuk membina kehidupan yang lebih baik bersama anak-anak.

“Mereka adalah nyawa saya dan sebagai ibu saya perlu memastikan mereka mendapat layanan dan kasih sayang terbaik,” ujarnya.

Baca juga: Keluarga atau tidak, S Atan tetap kenakan caj RM15k untuk buat lagu dan lirik