Tak henti menyindir, sikap pemimpin Pas tak bantu selesai masalah rakyat

Oleh KIM SYAZIE

Kebelakangan ini, pemimpin parti pembangkang khususnya Pas dilihat sering mengeluarkan kenyataan berbaur sindiran terhadap pemerintahan kerajaan.

Bekas pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail berpendapat tindakan itu bertentangan dengan tatasusila masyarakat Melayu.

Menurutnya, tindakan pemimpin Pas yang menyindir serta membuat pelbagai perumpamaan sama sekali tidak memberi manfaat kepada negara.

Katanya, sekiranya ahli politik Pas tiada buah fikiran untuk membantu rakyat, lebih baik mereka bekerjasama dengan kerajaan menyelesaikan masalah negara.

“Sikap macam ini tak membantu rakyat dalam menangani isu harga barang. Kerajaan dalam tempoh tiga bulan ini bertungkus-lumus nak selesai masalah (rakyat).

“Pas pilih untuk menyindir dengan cara menghina. Tinggalkan perangai buruk melabelkan dengan binatang dan sebagainya, guna bahasa yang lebih baik,” katanya.

Baru-baru ini, tindakan ahli Jawatankuasa Pas menyamakan wanita seperti barang dibidas oleh orang ramai kerana merendahkan kaum hawa.

Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man pula menggunakan perumpamaan ‘seekor tiung yang bercakap’ kepada Perdana Menteri pada 1 Mac lalu.

Beliau ketika itu menyindir tindakan Anwar Ibrahim yang membatalkan kelulusan enam projek tebatan banjir di bawah kerajaan sebelum ini.

Kata Tuan Ibrahim, Anwar hanya pandai berkata-kata tanpa memahami apa yang diperkatakan.

“Ia lebih kepada menghina, sangat buruk, tak menguntungkan rakyat.” Ulas Azan.

Baca juga: ‘Hanya berani dengan melayu’, peniaga mengamuk campak barang bila disita PBT