Tak jumpa kelemahan lepas seminggu nikah, suami anggap Nabila Razali sempurna

Oleh WAN SITI AMINAH

Usahawan, Nik Iruwan menyifatkan kehadiran isterinya iaitu penyanyi sensasi, Nabila Razali sebagai detik yang terindah di dalam kehidupannya.

Walaupun menjalani tempoh pengenalan singkat, ahli perniagaan berusia 38 tahun itu sangat yakin bahawa wanita pilihannya adalah insan yang sempurna dan hebat.

Hal ini kerana, pemilik nama sebenar Nik Iruwan Nik Izani itu masih belum menemui kelemahan dalam diri Nabila setelah lebih seminggu melayari bahtera rumah tangga.

Nik Iruwan turut mendedahkan, dirinya tidak pernah merasa ragu ketika memutuskan untuk melamar Nabila atau Nur Nabila Mohd Razali sebagai isteri, lapor Oh Bulan.

“Dia sempurna, fantastik dan sangat baik. Saya cuba untuk mencari kelemahannya, tetapi masih belum berjaya jumpa lagi. Sejujurnya, kami baru kenal juga tahun ini.

“Tetapi semuanya berjalan dengan sangat lancar. Semasa mengambil keputusan untuk berkahwin dengan Nabila, saya juga tidak pernah ada rasa berbelah bahagi.

“Dia orangnya sangat teratur. Sepanjang tinggal bersamanya selama seminggu ini, ia merupakan antara hari-hari yang bahagia buat saya,” katanya memetik laporan Oh Bulan.

Sementara itu, Nabila Razali tampil membongkarkan sifat sebenar Nik Iruwan yang berjaya menambat hatinya hingga bersetuju untuk menerima lamaran lelaki berkenaan.

Percaya mereka adalah jodoh yang tepat untuk satu sama lain, penyanyi berusia 31 tahun itu juga berharap agar rumah tangganya bakal berkekalan hingga ke syurga.

“Di mata saya Nik Iruwan adalah seorang yang sangat matang. Dalam tempoh perkenalan pun banyak benda yang saya rasa suami melengkapi apa yang kurang pada saya.

“Saya harap Insya-Allah, perkahwinan ini kekal hingga ke jannah. Saya juga harap doa daripada semua orang untuk perhubungan kami. Perkenalan kami tidaklah sempurna 100%. 

“Sudah semestinya ada kelemahan dan kekurangan masing-masing. Tetapi saya percaya ia melengkapi perhubungan ini. Saya harap yang baik-baik sahaja.” Ulas Nabila Razali.

Terdahulu, Nabila dan Nik Iruwan sah bergelar suami isteri pada 18 November lalu dalam satu majlis tertutup di sebuah tempat peranginan di Bukit Tinggi, Pahang.

Dalam majlis tersebut, pelakon drama Luruhnya Bunga Cinta itu menerima mas kahwin sebanyak RM22.50 daripada Nik Iruwan namun wang hantaran dirahsiakan.

Kemudian pada Ahad lalu, pasangan dua sejoli itu mengadakan majlis persandingan dengan adat Jawa yang dilangsungkan di Hotel Royale Chulan Damansara, Selangor.

Baca juga: Mudah rupanya nak buat air karamel latte, guna 3 bahan sahaja, rasa macam dekat kedai!