Permuda yang pernah dipromosikan sebagai ‘Ikon Permotoran Negara’ dilaporkan telah dicekup polis, sekali lagi.
Dikenali sebagai selebriti media sosial, lelaki itu ditangkap polis ketika sedang menonton perlumbaan motosikal yang dianjurkan secara haram.
Berusia 23 tahun, pemuda itu menjadi antara 284 individu yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Pegawai, Alor Setar.
Pemuda itu mendakwa, tujuannya datang ke Alor Setar adalah untuk berniaga dan hanya singgah sebentar ke Jalan Pegawai kerana bosan.
Dibebaskan polis selepas keterangannya diambil, selebriti itu dikenakan empat tindakan saman atas pelbagai kesalahan trafik.
Perkara itu dimaklumkan oleh Ketua Polis Daerah Kota Setar, Assisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, lapor Kosmo!.
Menurut Ahmad Shukri, antara kesalahan yang dilakukan individu terbabit adalah melakukan pengubahsuaian pada paip eksos.
“Tiga lagi kesalahan adalah tiada cermin sisi kiri dan kanan, tiada peti rantai serta nombor pendaftaran ‘fancy’,” katanya.
Lelaki yang dilantik sebagai ikon permotoran anak muda pada tahun lalu itu pernah ditahan sebelum ini kerana tidak memiliki lesen.
Mengundang kecaman, gelaran ikon itu diberi oleh bekas Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Baca juga: Bapa mohon maaf, rupanya anak dikurung guru kerana suka londeh seluar rakan