Teka-teki mengenai status perkahwinan usahawan, Rozita Ibrahim akhirnya terjawab apabila anak gadisnya iaitu Nur Ain Sufiah tampil mengesahkan bahawa ibunya itu sudah berkahwin baharu.
Menurut Ain, pernikahan baharu ibunya itu berlangsung mengikut hukum syarak dan ahli keluarganya termasuk anak-anak dapat menerima perkahwinan tersebut dengan baik.
Oleh yang demikian, Ain meminta supaya orang ramai berhenti membuat sebarang spekulasi yang tidak benar atau melemparkan kata-kata tidak sedap untuk didengar terhadap Rozita.
“Ajal, maut dan jodoh itu di tangan Tuhan. Mereka sudah bernikah secara halal dan perkara itu sepatutnya perlulah diraikan. Mohon netizen untuk jangan mengecam secara berlebihan.
“Kami anak-beranak semua berada dalam keadaan baik. Mommy dan Daddy juga baik-baik sahaja. Kalian tak perlu risau. Kami sekeluarga juga menerima situasi sekarang dengan baik,” katanya.
Pengesahan itu akhirnya dibuat Ain selepas kerap ditanya mengenai status perkahwinan Rozita ketika gadis terbabit melakukan sesi siaran langsung di akaun media sosial TikTok miliknya sejak akhir-akhir ini.
Dalam sesi perkongsian yang sama, Ain juga menjelaskan punca mengapa ibunya bertindak berdiam diri dan tidak memberikan sebarang penjelasan berhubung status perkahwinannya sebelum ini.
“Ada segelintir pihak yang tanya, mengapakah Bonda tak mahu memberikan penjelasan. Sebabnya jika Bonda beri sekali pun, tetap akan dikecam. Kalau tak beri penjelasan pun kena kecam juga.
“Namun saya mengambil keputusan untuk memberikan penjelasan kerana tidak mahu adanya fitnah yang berlaku di luar sana,” kata gadis tersebut di dalam siaran langsung berkenaan.
Dengan penjelasan itu, Ain berharap orang ramai berhenti bertanya tentang punca penceraian Rozita dengan bekas suami terutamanya kepada adik-adiknya yang masih kecil selain meminta privasi keluarganya dihormati.
Sesi siaran langsung tersebut sempat dirakam sebelum dikongsikan semula menerusi satu hantaran video di akaun Instagram milik ibunya yang juga mesra disapa sebagai Bonda Rozita.
“Punca perpisahan itu, kalian tidak perlu tahu kenapa. Itu privasi keluarga kami, orang luar tidak perlu tahu. Kalau mereka tiada jodoh, kenapa kita nak paksa.” Jelas gadis itu lagi.
Terdahulu, timbul dakwaan mengatakan bahawa Rozita sudah mendirikan rumah tangga selepas tampil di dalam sesi siaran langsung bersama seorang lelaki berusia yang dikatakan abang kepada pelakon, Rebecca Nur AI Islam.
Hal ini berikutan Rebecca telah bertindak meninggalkan komen untuk menyapa Rozita dengan panggilan ‘kakak iparku’ sekali gus menguatkan dakwaan bahawa ahli perniagaan itu sudah bernikah baharu.
Baca juga: Dulu pemain lincah JDT, Gopi kini berniaga air balang di bazar Ramadan