Walaupun ada wanita yang tak sanggup menerima kehadiran orang ketiga namun ada juga melihat ia sebagai kebaikan.
Buat wanita ini, Nur Akmal tular selepas memuat naik gambar perkahwinan suami bersama isteri keduanya di TikTok.
Menurut Harian Metro, Mohd Zahzee Shah Zakaria bernikah dengan isteri kedua, Noorfaizura Ujang pada 5 Ogos tahun lalu, dan Nur Akmal hanya memuat naik gambar tahun ini.
“Saya baru saja kongsi gambar itu baru-baru ini kerana untuk berkongsi kenangan dan suka-suka saja selepas hampir setahun suami dan madu berkahwin.
“Saya tak sangka pula ia akan mendapat perhatian dan pujian ramai. Saya berterima kasih dengan sokongan netizen dan semua doa yang baik-baik untuk mereka juga.
“Malah dalam masa sama saya mahu menunjukkan poligami bukan sesuatu yang buruk sekiranya ia dilakukan dengan cara yang betul,” katanya seperti dipetik Harian Metro.
Selepas 12 tahun berkahwin, dia membenarkan suaminya berkahwin kerana mereka gagal mendapatkan cahaya mata namun gembira kerana semua pihak memahami satu sama lain.
“Dalam hidup berkongsi kami sentiasa tahu hak, privasi dan tanggungjawab masing-masing selain saling menghormati.
“Kita mesti faham semua datang daripada Allah SWT, Dia sudah tentukan yang terbaik untuk kita.
“Saya anggap madu adalah hadiah buat saya dan dia seorang yang baik, malah ketiga-tiga keluarga juga saling mengenali dan baik.
“Apabila suami setuju dengan cadangan saya berkahwin lain, madu datang bertemu saya untuk kepastian,” tambahnya.
Wanita tersebut turut berkongsi dia sendiri meminang madunya malah banyak membantu dalam menguruskan urusan poligami di mahkamah serta majlis mereka.
Baca juga: Penghuni PPR rosakkan kereta, berang pemandu tersalah parkir – “Amaran pertama”